Usahakan tanaman labu di tanah terbiar

Usahakan tanaman labu di tanah terbiar

NILAI 10 Julai - Seramai 30 pemilik tanah terbiar di Kampung Pulau, Labu di sini disaran mengusahakan tanah masing-masing dengan menyertai projek tanaman labu secara komersial.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar Bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Hasim Rusdi berkata, terdapat kira-kira 59 hektar tanah terbiar di sini yang berpotensi untuk dimajukan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu itu berkata, projek yang masih dalam peringkat perbincangan itu diyakini boleh menjana pendapatan lumayan kepada pemilik tanah terbabit.

Jelasnya, ia juga bertujuan mempopularkan labu sebagai tanaman komersial utama selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penghasilan makanan negara.

''Jika kawasan Tambun di Perak popular dengan limau bali, kita berharap Labu akan menjadi terkenal dengan labu," katanya.

Beliau berucap merasmikan mesyuarat cadangan projek tanaman labu di kawasan tanah terbiar di Kampung Pulau, Labu dekat sini hari ini.

Hadir sama Penolong Pegawai Pertanian daerah, Noor Hazlan Jamlus dan 30 pemilik tanah terbabit.

Menurutnya, tanaman labu dipilih kerana terdapat permintaan yang tinggi oleh industri makanan malah ia turut digunakan sebagai salah satu bahan dalam penghasilan cat.

''Selain itu, disebabkan oleh nama yang serupa, orang ramai akan lebih mudah mengaitkan labu dengan kawasan ini," katanya.

Ujar beliau, projek tanaman labu akan diusahakan sama ada secara keseluruhan oleh usahawan yang bakal dilantik atau secara kelompok oleh pemilik-pemilik tanah.

Kata beliau, pada dasarnya kerajaan negeri telah bersetuju dengan cadangan berkenaan dan langkah seterusnya adalah untuk mendapatkan persetujuan pemilik tanah terbabit.

(Utusan Malaysia, 11 Julai 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan