Peluang belia belajar kemahiran
REMBAU 2 Julai - Kompleks Perkampungan Kristal di sini bukan sekadar menjual hasil kraf yang bermutu tetapi turut menyediakan program latihan komprehensif dan peluang kerjaya kepada golongan belia di negeri ini.
Menurut pelatih, Suhaiza Nordin, 18, dia berasa gembira kerana berpeluang mempelajari selok-belok anyaman kristal sepanjang enam bulan menjalani latihan di sini.
Dia yang berasal dari Taman Pedas Perdana di sini berkata, kerja menganyam kristal memerlukan kesabaran yang tinggi dan merasakan bidang ini memang bersesuaian dengan jiwa dan keperibadiannya.
Seorang lagi pelatih, Siti Nurhazwani Mohd. Nor, 21, yang berasal dari Chembong di sini menjelaskan, latihan di bengkel menganyam kristal mengajarnya bersikap lebih teliti dalam melakukan sesuatu.
''Selain itu, saya tidak perlu risau untuk mencari pekerjaan kerana peluang kerjaya terbuka luas di sini setelah tamat latihan kelak," ujarnya.
Pelatih, Iszurul Ishak, 20, dari Kampung Masjid, Rantau, Seremban, menyatakan dia merasa sangat bertuah kerana terpilih untuk mengikuti program latihan di sini.
Jelasnya, selain dilatih cara-cara membuat dan menganyam kristal oleh tiga tenaga pengajar pakar yang berpengalaman, pelatih-pelatih di sini turut didedahkan dengan aspek pemasaran dengan bertugas di galeri secara bergilir-gilir setiap hari.
Sementara itu, pelatih di bengkel membuat kristal, Mohd. Syukri Maasar, 19, berkata, pihak syarikat turut menyediakan asrama bagi kemudahan penginapan pelatih lelaki yang berasal dari luar daerah ini.
''Jika tiada kemudahan asrama, sudah tentu agak sukar bagi saya untuk berulang-alik dari rumah di di Kampung Bukit Perah, Kuala Pilah ke sini," katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Operasi Rembau Crystal Sdn. Bhd., Hanif Maulud, berkata, pihaknya telah mengambil 25 remaja lepasan sekolah sebagai pelatih yang bakal menjadi generasi pelapis dalam bidang pembuatan dan anyaman kristal.
Menurut beliau, selain kemudahan asrama untuk pelatih lelaki yang berasal dari luar daerah ini, mereka turut menerima elaun bulanan sebanyak RM210 setiap seorang di samping elaun perjalanan sebanyak RM30 hingga RM50 sebulan bagi pelatih yang tidak menetap di asrama.
''Elaun dan kos latihan ditaja oleh Yayasan Negeri Sembilan dan selepas menjalani latihan selama setahun, pelatih akan diserap untuk bekerja di sini dengan gaji permulaan sebanyak RM700.
''Mereka juga terikat dengan perjanjian untuk berkhidmat di sini selama lima tahun," ujarnya.
Tambah Hanif, syarikatnya juga memerlukan tujuh lagi pelatih lelaki dan belia dalam lingkungan umur 17 hingga 25 tahun di negeri ini yang berminat boleh menghubungi beliau atau hadir sendiri ke kompleks berkenaan untuk mengemukakan permohonan.
Jelasnya, pemohon perlu mempunyai minat dan kesabaran yang tinggi kerana proses pembuatan kristal memang agak rumit.
(Utusan Malaysia, 3 Julai 2008, m/s 26)
0 Ulasan