Keunikan kristal Rembau
|
REMBAU 2 Julai - Keindahan dan keunikan reka bentuk produk kristal yang memukau pandangan mata menjadikannya pilihan ramai untuk perhiasan di rumah atau pejabat.
Lazimnya, produk kristal dipasarkan dalam bentuk rantai kunci, kerongsang, replika flora dan fauna, hati, buah-buahan, gelas minuman serta vas.
Malah ada yang sanggup berbelanja sehingga ribuan ringgit untuk membeli produk kristal jenama terkenal seperti swarovski yang diimport dari luar negara.
Menyedari nilai komersial produk kristal serta potensi pasaran di dalam dan luar negara, kerajaan negeri membangunkan Kompleks Perkampungan Kristal di daerah ini sebagai pusat pengeluaran produk kristal terulung di negara ini.
Kompleks yang beroperasi sejak Mac lalu itu dibangunkan secara usahasama oleh Rembau Crystal Sdn. Bhd. dan Yayasan Negeri Sembilan (YNS) di atas sebidang tanah seluas 1.82 hektar berhampiran dengan pekan Rembau.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Rembau Crystal Sdn. Bhd., Hanif Maulud, idea untuk membina Kompleks Perkampungan Kristal tercetus daripada saranan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
''Beliau menyarankan supaya setiap daerah di negeri ini tampil dengan satu produk unik dan mencadangkan produk kristal.
''Kompleks Perkampungan Kristal ini berpotensi untuk dijadikan sebagai salah satu pusat tarikan pelancong kerana ia merupakan yang terbesar di negara ini," kata beliau ketika ditemui di sini hari ini.
Tambahnya, kompleks ini diubahsuai dari Rumah Rehat Rembau dan menempatkan bangunan pejabat, galeri, bengkel pembuatan kristal, bengkel menganyam kristal serta surau.
Ujar Hanif, Rembau Crystal Sdn. Bhd. juga sedang dalam proses mengindahkan kawasan persekitaran kompleks dan membina gerai jualan.
Selain itu, jelasnya, Rembau Crystal Sdn. Bhd. turut menjual produk kristal beraneka reka bentuk secara runcit pada harga berpatutan dan mempunyai kualiti yang sama seperti produk import kepada pelanggan.
Beliau menjelaskan, syarikatnya menjual produk kristal secara runcit daripada harga serendah RM5 dan produk yang bernilai melebihi RM1,000 kebiasaannya dijual secara tempahan.
Lebih istimewa lagi, kata Hanif, setiap pelanggan yang membeli produk kristal secara terus di galeri kompleks berkenaan berpeluang menerima diskaun sebanyak 20 peratus.
Katanya, syarikatnya juga bersedia menghasilkan produk kristal mengikut reka bentuk yang dikehendaki pelanggan bagi dijadikan hadiah serta cenderamata untuk majlis rasmi kerajaan dan korporat atau majlis perkahwinan.
Hanif menambah, permintaan yang diterima terhadap produk kristal keluaran syarikatnya memang sangat menggalakkan.
''Pada masa ini kami menerima tempahan dalam jumlah yang besar daripada pemborong tempatan di Kuala Lumpur serta pemborong luar negara iaitu Singapura dan Taiwan,'' jelasnya.
Mengenai rancangan jangka panjang, beliau memberitahu, selain pasaran tempatan, Rembau Crystal juga berhasrat memperluas rangkaian perniagaan di luar negara.
Jelasnya, pihak syarikat kini sedang dalam proses melantik rakan niaga dan ejen di negara-negara selain Singapura dan Taiwan untuk memasarkan produk kristal keluarannya.
Untuk maklumat lanjut atau tempahan, kata Hanif, orang ramai boleh menghubungi beliau di talian 06-6853100, 06-6855100, 012-6110270 atau melalui faks di 06-6854100 serta e-mel di rembaucrystal@yahoo.com.
Selain itu, tambahnya, mereka yang berminat juga boleh datang secara terus ke kompleks berkenaan dari pukul 9 pagi hingga 5 petang setiap hari yang terletak di Lot 1432, Jalan Kampung Mulia di sini.
(Utusan Malaysia, 4 Julai 2008, m/s 26)
0 Ulasan