Pulih sawah terbiar tingkat sumber makanan
KUALA PILAH 13 Jun - Kerajaan negeri sentiasa menggalakkan usaha pemulihan dan pembangunan tanah sawah terbiar yang tidak lagi ekonomik untuk ditanam padi bagi digantikan dengan tanaman lain atau aktiviti ternakan.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Yunus Rahmat, berkata, inisiatif ini perlu diteruskan supaya kadar penghasilan sumber makanan di negeri ini dapat dipertingkatkan.
Menurut beliau, secara keseluruhannya keluasan tanah sawah yang terdapat di negeri ini ialah 13,922 hektar dan daripada jumlah itu, seluas 11,216 hektar telah diusahakan semula.
"Saya berharap konsep pembangunan tanah terbiar ini diperluas dan dipertingkat dari semasa ke semasa dan lebih ramai usahawan tempatan melibatkan diri dalam projek di bawah Jabatan Pertanian negeri ini," ujarnya di sini hari ini.
Di samping itu, kata Yunus, pemilik serta waris perlu memberi kerjasama supaya projek pemulihan dan pembangunan tanah boleh dilaksanakan di tanah mereka mengikut syarat-syarat dipersetujui dalam perjanjian.
Tambah beliau, tanah sawah tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja kerana pemilik akan memperoleh hasil yang lumayan jika ia diusahakan semula secara sistematik dan profesional.
Jelasnya, kerajaan negeri melalui jabatan dan agensi pertanian akan terus berusaha membantu usahawan tani meningkatkan hasil pengeluaran mereka.
Yunus memberitahu, antara langkah yang diambil termasuk pembaikan infrastruktur seperti perataan tanah, pembinaan saluran dan sistem saliran.
Di samping itu, kata beliau, langkah yang sama akan dilaksanakan bagi menambah penghasilan padi di kawasan-kawasan sawah yang masih produktif di negeri ini.
"Pada masa ini, purata penghasilan padi di negeri ini adalah empat metrik tan sehektar dan jumlah ini hampir sama dengan purata hasil padi di Semenanjung Malaysia.
"Justeru, kerajaan negeri menyasarkan untuk meningkat hasil padi sebanyak 10 peratus lagi atau pada kadar purata enam metrik tan sehektar," ujarnya.
Kata Yunus lagi, kawasan-kawasan baru tanaman padi juga telah dikenal pasti dan akan dibangunkan di tanah sawah terbiar yang sesuai.
(Utusan Malaysia, 14 Jun 2008, m/s 26)
0 Ulasan