Desak PMX laksana titah adendum tidak beradab - Ketua PKR Gerik

 

Ketua PKR Cabang Gerik, Dr. Ahmad Safwan Mohamad menyifatkan desakan terbuka oleh sekumpulan ketua bahagian UMNO agar Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim segera melaksanakan titah adendum berkaitan pengampunan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai tindakan yang tidak beradab.

Menurut beliau, meletakkan tanggungjawab di bahu Perdana Menteri dalam keadaan proses kehakiman masih berjalan seolah-olah memperlekeh peranan beliau sebagai pemimpin yang menghormati sempadan kuasa yang ditetapkan Perlembagaan.

“Tindakan ini secara tidak langsung merupakan satu tindakan yang tidak beradab terhadap Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang sentiasa menjunjung tinggi peranan institusi Raja-Raja Melayu dan proses perundangan negara,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Katanya, isu berkaitan titah adendum kini dalam bidang kuasa Mahkamah Persekutuan setelah melalui beberapa peringkat kehakiman.

“Mahkamah Rayuan sebelum ini membenarkan semakan kehakiman berdasarkan wujudnya surat dari Istana Pahang, namun pihak Peguam Negara telah membawa rayuan ke Mahkamah Persekutuan untuk mencabar aspek prosedur dan penerimaan dokumen tersebut.

“Pada 1 dan 2 Julai 2025, Mahkamah Persekutuan telah mendengar hujahan kedua-dua pihak dan sehingga kini belum mengeluarkan sebarang keputusan muktamad,” katanya.

Jelas beliau, tindakan mendesak Perdana Menteri supaya campur tangan dalam keadaan proses kehakiman masih berlangsung adalah tidak bertanggungjawab serta mencemarkan prinsip pengasingan kuasa dan kedaulatan undang-undang.

“Perdana Menteri hanyalah pemudah cara dan pelaksana kepada keputusan Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Titah adendum tersebut pula dikatakan berlaku semasa peralihan kuasa daripada Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (Agong ke-16) kepada Sultan Ibrahim (Agong ke-17), sekali gus menimbulkan persoalan undang-undang dan pelaksanaan yang kini sedang diperhalusi oleh mahkamah tertinggi negara,” jelasnya.

Ahmad Safwan turut memetik titah Sultan Ibrahim sebelum ini bahawa perkara itu boleh dibawa semula ke Mesyuarat Lembaga Pengampunan akan datang, dan Perdana Menteri juga telah memberi komitmen penuh untuk mempersembahkannya secara berperlembagaan apabila tiba masanya.

“Sebagai pemimpin yang menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan dan kedaulatan undang-undang, adalah tidak wajar untuk Perdana Menteri bertindak melangkaui proses mahkamah, apatah lagi membuat keputusan berasaskan tekanan politik atau sentimen partisan.

“Saya menyeru agar para ketua bahagian UMNO memahami konteks sebenar isu ini dan berperanan memberi pencerahan kepada akar umbi, bukannya menambah kekeliruan atau mencetuskan persepsi salah terhadap Perdana Menteri dan kerajaan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa kestabilan negara tidak boleh digadaikan demi agenda kelompok tertentu.

“Kita semua wajib memelihara maruah institusi kehakiman, menjunjung keluhuran Perlembagaan dan menghormati kebijaksanaan Raja-Raja Melayu dalam menangani perkara-perkara yang menyentuh keadilan dan kedaulatan undang-undang,” tegasnya.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan