Bekas Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri kelapan, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mendakwa bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menipu apabila mengatakan Perikatan Nasional (PN) tidak pernah mengemukakan sebarang tawaran kepada Barisan Nasional (BN) dalam rundingan pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata, Rafizi mendakwa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin memandang rendah kepada UMNO.
Menurut Marzuki, kenyataan Rafizi itu adalah satu pembohongan kerana beliau sendiri terlibat secara langsung dalam rundingan antara PN dan BN yang berlangsung di Hotel St. Regis pada 23 November 2022.
“Sedangkan beliau yang menjadi orang penting dalam rundingan PH-BN menyediakan dokumen tawaran yang amat menarik kepada BN. Kerana itulah BN memilih untuk bekerjasama dengan PH.
“Beliau kata beliau ada kaki dalam rundingan PN-BN di Hotel St. Regis pada 23 November 2022. Saya tak tahulah betul atau tidak dia ada kaki. Saudara Rafizi, kamu menipu.
"Saya bukan setakat ada kaki dalam rundingan tersebut, malah seluruh tubuh badan saya berada di situ dari awal rundingan hingga ke akhirnya,” katanya dalam hantaran Facebook malam tadi.
Jelas beliau, rundingan ketika itu berlaku dalam suasana muhibah dan tidak pernah sekali pun Muhyiddin memperkecilkan UMNO, apatah lagi ramai dalam delegasi BN merupakan rakan lama beliau dalam politik.
“Bercakap pun seperti kawan-kawan lah,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Marzuki memaklumkan bahawa memang wujud tawaran dalam rundingan itu, termasuk jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada BN dan agihan jawatan kabinet berdasarkan komposisi kerusi Parlimen yang dimenangi.
“Kedua, dalam rundingan mestilah ada tawaran. Rombongan BN datang dengan tawaran Ahli-Ahli Parlimen BN memberikan sokongan secara en-bloc kepada Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
“Sebagai balasan, PN menawarkan jawatan Timbalan Perdana Menteri kepada BN, jawatan kabinet mengikut komposisi kerusi Parlimen yang dimenangi dan beberapa perkara lain.
“Siapa Timbalan Perdana Menteri dari BN tidak ditentukan. Ia mestilah dirunding antara Perdana Menteri dan pimpinan BN,” katanya.
Tambahnya, di akhir rundingan, delegasi BN yang diketuai oleh Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Mohamad Hasan meminta supaya tawaran tersebut dikemukakan secara bertulis untuk dibawa ke mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO malam itu.
“Selepas rundingan tamat, saya duduk bersama-sama Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Setiausaha Agung PN pada masa itu dan beberapa orang lain untuk menyediakan sepucuk surat yang mengandungi tawaran-tawaran PN kepada BN.
“Surat tersebut yang dialamatkan kepada Timbalan Pengerusi BN diserah tangan pada hari yang sama,” katanya.
Menurutnya, pada ketika itu beliau beranggapan tidak ada sebab untuk UMNO menolak tawaran dengan terma-terma yang telah dibincangkan secara munasabah dan dipersetujui dalam rundingan.
Namun beliau tidak pasti sama ada kandungan surat itu dibawa ke mesyuarat MKT atau tidak.
“Saya tidak pasti sama ada kandungan surat tersebut dibincangkan atau tidak di dalam mesyuarat MKT UMNO pada malam 23 November 2022.
“Apabila saya pulang ke rumah pada lewat malam tersebut, saya terkejut membaca kenyataan media Setiausaha Agung UMNO yang menyatakan bahawa MKT UMNO telah memutuskan untuk menolak kerjasama dengan PN.
"Sebaliknya UMNO memilih untuk bekerjasama dengan PH. Saya terdiam.
“Namun apa boleh buat. Hari pun sudah lewat malam, keputusan telah dibuat, badan sudah letih, saya pun tidur sahajalah sambil mengharapkan hari esok lebih baik daripada semalam,” katanya.
Marzuki menegaskan beliau tidak berhasrat mendedahkan perincian rundingan, namun merasa bertanggungjawab menjelaskan keadaan sebenar apabila kenyataan palsu dan fitnah dilemparkan.
“Saya bukanlah orang penting. Tetapi telah ditakdirkan saya terlibat dalam banyak rundingan politik. Saya tidak gemar mendedahkan butiran rundingan.
“Tetapi sekiranya ia telah menjadi sumber pembohongan dan bahan fitnah, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menyatakan kebenaran.
“Saudara Rafizi, orang boleh dibohongi, tetapi mereka tidak menerima pembohongan. Maka apabila kamu menipu, menjadi tanggungjawab saya untuk menyatakan perkara yang benar,” katanya.
0 Ulasan