Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, adalah menjadi tanggungjawab besar kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membawa pulang dalang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low ke negara ini dengan segera.
Menurut beliau, sekarang terdedah Jho Low berada di Shanghai, China.
"Pendedahan itu dibuat oleh wartawan Tom Wright dan Bradley Hope. Mereka bukan polis taraf SB macam Tan Sri Hamid Bador (bekas Ketua Polis Negara).
“Jika benar, maka menjadi tanggungjawab besar kepada PDRM dan SPRM bawa balik Jho Low dengan segera. Bawa dia ke muka pengadilan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Mohd. Puad menambah, rakyat tertanya-tanya mengapa sukar sangat untuk membawa pulang Jho Low meskipun beberapa janji telah dibuat sebelum ini, termasuk oleh Hamid.
“Bahkan Hamid pernah berkata Jho Low tukar identiti jadi beruang, berjalan macam seladang.
“Hamid janji, akhir Disember 2019 Jho Low akan dibawa balik ke Malaysia. Semua itu sembang kari dan memalukan,” katanya.
Beliau turut mempertikaikan pelantikan Hamid sebagai Ketua Polis Negara selepas bersara dan mengingatkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad agar tidak bercakap soal kebebasan institusi kehakiman.
“Sebab itu Tun M juga jangan sembang kari kononnya perlantikan Ketua Hakim Negara tidak bebas. Cermin diri sendiri,” katanya,
Mohd. Puad turut memetik hujahan peguam terkemuka, Tan Sri Shafee Abdullah bahawa perbicaraan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak adil kerana individu penting seperti Jho Low dan Nik Faisal tiada di mahkamah.
“Patut buang kes,” katanya.
Beliau menambah, keadaan ini menimbulkan persoalan tentang kewujudan konspirasi, sebagaimana dipercayai oleh rakyat.
“Sekarang hanya karma yang membantu menjawab kemusykilan rakyat. Tun Mahathir, Muhyiddin Yassin, Tommy Thomas, Latheefa Koya dan Terriruddin hilang kedudukan yang diimpikan dengan cepat sekali,” katanya.
0 Ulasan