![]() |
Gambar imaginasi rekaan ChatGPT |
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat menyarankan kerajaan mengambil langkah berani dan proaktif dengan menawarkan ganjaran RM10 juta kepada mana-mana pihak yang dapat menyalurkan maklumat sahih sehingga berjaya membawa pulang buruan utama kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Low Taek Jho atau Jho Low.
Beliau berkata, kepulangan Jho Low penting supaya individu terbabit dapat dibicarakan serta dikenakan hukuman setimpal.
“Orang yang terlibat dengan jenayah mesti berdepan dengan undang-undang, bukan melarikan diri seumur hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wei Kiat mengulas laporan media antarabangsa yang mendedahkan Jho Low dipercayai kini menetap di kawasan elit di Shanghai, China dengan menggunakan pasport Australia palsu.
Menurut Ketua PKR Cabang Selayang itu, ganjaran sebanyak RM10 juta adalah wajar kerana hanya mewakili 0.035 peratus daripada keseluruhan dana 1MDB berjumlah lebih RM29 bilion yang telah dikembalikan kepada Malaysia setakat ini.
“Saya mencadangkan agar ganjaran yang ditawarkan itu bernilai RM10 juta merupakan 0.035% dari jumlah keseluruhan dana 1MDB yang telah berjaya dikembalikan kepada Malaysia, iaitu lebih RM29 bilion setakat ini,” katanya.
Jelasnya, pendekatan sebegini bukan asing di peringkat antarabangsa kerana telah lama diamalkan oleh negara-negara besar dalam usaha memburu penjenayah rentas sempadan.
“Tindakan ini bukanlah luar biasa. Negara-negara besar seperti Amerika Syarikat, India dan China telah lama mengamalkan pendekatan ganjaran seperti ini, khususnya dalam memburu penjenayah dikehendaki, pengganas atau individu yang terlibat dalam pengubahan wang haram dan rasuah rentas negara,” katanya.
Katanya, jika ganjaran tersebut membuahkan hasil, ia merupakan pelaburan keadilan yang berbaloi dan memperlihatkan ketegasan Malaysia dalam membanteras rasuah berskala mega.
“Jika ganjaran RM10 juta ini mampu membawa pulang watak utama yang selama ini menghilangkan diri, ia adalah pelaburan keadilan yang berbaloi.
"Ia juga akan menjadi isyarat jelas kepada dunia bahawa Malaysia tidak berkompromi dalam membanteras rasuah berskala mega,” katanya.
Wei Kiat menegaskan Jho Low bukan sekadar suspek, tetapi simbol kepada kerosakan sistem dan manipulasi institusi yang menyebabkan negara kehilangan kekayaan.
“Bagaimana keadilan boleh ditegakkan jika individu yang menyimpan kunci kepada keseluruhan skandal ini masih bebas dan terus menikmati kehidupan mewah di luar negara?” katanya.
Beliau berkata, semua individu yang terlibat dalam kes 1MDB mempunyai peranan dalam skandal itu dan mesti sama-sama bertanggungjawab.
"Keadilan yang sebenar hanya boleh dicapai apabila semua yang terlibat, tanpa mengira pangkat atau kekayaan, dibawa ke muka pengadilan,” katanya.
0 Ulasan