Puad gelar Tun Faisal 'Ketua Penggelapan Bersatu'

 


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi secara sinis menggelar Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Tun Faisal Ismail Aziz sebagai 'Ketua Penggelapan Bersatu' berikutan kegagalannya memberi penjelasan meyakinkan mengenai ketiadaan wakil PAS dalam satu pertemuan santai di kedai kopi, baru-baru ini.

Menurut beliau, Tun Faisal yang juga Ketua Penerangan Bersatu terpaksa bersilat untuk memberi penjelasan itu. 

"Bukan semakin terang tetapi semakin gelap. Elok Tun Faisal ini kita panggil sebagai Ketua Penggelapan Bersatu," katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Mohd. Puad mendakwa ketidakhadiran Pas berpunca daripada langkah Bersatu yang didakwa ingin menjemput parti Urimai pimpinan Dr. P. Ramasamy dan parti MAP di bawah P. Waytha Moorthy.

Katanya, dua parti itu kuat menyokong ICERD yang ditentang oleh Pas.

"Itu punca PAS tidak dijemput. Kalau dijemput pun PAS tidak akan datang. Masalahnya bukan soal jemput atau tidak dijemput. 

"Soalnya kenapa PAS tidak boleh hantar wakil kalau santai bantai itu penting," katanya.

Tambah beliau, pendirian PAS untuk tidak menghantar wakil adalah kerana pertemuan tersebut tidak diputuskan oleh Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN).

"Pelik juga resolusi pertemuan di kedai kopi itu akan dibentang dalam mesyuarat PN.

"Adakah itu bermakna mesyuarat di kedai kopi dianggap 'second class' kerana dihadiri oleh parti nyamuk? Hebat Bersatu. 

"Kerana gagal dapat DAP, Ramasamy dan Waytha Morthy sudah memadai sebagai ganti," katanya.




Catat Ulasan

0 Ulasan