Sawah terbiar berubah 'wajah'

Sawah terbiar berubah 'wajah'


Sebahagian daripada tanah sawah terbiar kini ditanam belimbing, betik dan nangka di Kampung Gachong, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.


KUALA PILAH 13 Jun - Pemandangan semak-samun yang dahulu sinonim dengan tanah sawah terbiar di sekitar daerah ini kini berubah wajah setelah sebahagian besar kawasan berkenaan dipulih dan dibangunkan melalui inisiatif yang dijalankan oleh Jabatan Pertanian Negeri (JPN).

Berdasarkan kepada perangkaan yang dikeluarkan oleh jabatan berkenaan sehingga Mac tahun ini, 4,279 hektar daripada 5,234 hektar keluasan kesemua tanah sawah yang terdapat di daerah ini telah diusahakan semula manakala hanya 955 hektar yang masih terbiar.

Menurut Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Zabidi Dun, sebanyak 76 kampung di sekitar daerah ini menyertai projek pemulihan dan pembangunan tanah sawah yang mula diperkenalkan oleh kerajaan sejak tahun 2004.

Jelas beliau, dasar Kementerian Pertanian telah menetapkan tanah sawah terbiar di negeri ini yang tidak lagi ekonomik untuk ditanam dengan padi diusahakan semula dengan tanaman kekal yang boleh memberi pulangan yang lumayan.

"Kementerian Pertanian telah menetapkan tanah sawah terbiar di Kuala Pilah serta di daerah-daerah lain di negeri ini ditanam semula dengan nangka dan belimbing," katanya di sini hari ini.

Tambah beliau, kerajaan juga telah menyasarkan sekurang-kurangnya 280 hektar tanah sawah terbiar ditanam semula dengan nangka dan 1200 hektar ditanam dengan belimbing menjelang 2010.

Di samping itu, ujar Zabidi, tanaman seperti betik dan pisang turut diusahakan di kawasan tanah berkenaan.

"Projek ini dijalankan secara usahasama di antara Jabatan Pertanian negeri dan usahawan yang berkesanggupan mengurus pembangunan tanah pada kadar sewa dan tempoh yang dipersetujui oleh pemilik.

"Usahawan juga perlu menjelaskan bayaran cukai tanah serta mengusahakan tanaman yang telah ditetapkan dan Jabatan Pertanian negeri akan memberi bantuan dari segi penyediaan infrastruktur asas seperti sistem perparitan," jelas beliau.

Ujarnya lagi, pemilik tanah juga boleh memperoleh pendapatan tambahan dengan bekerja dan menerima gaji di tanah yang diusahakan semula itu.

Zabidi berkata, tempoh perjanjian adalah 10 tahun dan selepas tahun 2014, tanah sawah akan diserahkan semula kepada pemilik bersama-sama dengan tanaman nangka dan belimbing yang sedang di peringkat puncak mengeluarkan hasil.

Beliau menjelaskan, pada umur 10 tahun belimbing boleh mengeluarkan hasil sebanyak kira-kira 45,000 kilogram (kg) sehektar dan dengan kadar RM1 sekilogram, pemilik tanah bakal memperoleh pendapatan bersih di antara RM10,000 hingga RM15,000 sehektar.

Sementara itu, bagi tanaman nangka pula, tambahnya, pemilik tanah boleh mendapat hasil sebanyak kira-kira 20,000 kg sehektar dan pada kadar RM1 sekilogram, pendapatan bersih yang bakal diterima adalah di antara RM7,000 hingga RM10,000 sehektar.

"Pendapatan yang diterima oleh pemilik tanah memang sangat lumayan dan ini sudah tentu jauh lebih baik daripada membiarkan tanah terus terbiar tanpa mengeluarkan sebarang hasil," ujar Zabidi.

Menurut beliau lagi, pemilik tanah juga boleh memilih untuk menyambung semula perjanjian dengan syarat-syarat baru terhadap usahawan yang menguruskan projek ini.

Bila ditanya tentang masalah yang sering dihadapi dalam melaksanakan projek ini, Zabidi memberitahu, halangan yang paling besar ialah mendapatkan persetujuan kesemua pemilik bagi tanah sawah yang ingin diusahakan.

"Kebiasaannya, sebidang tanah mempunyai ramai pemilik dan ada di antara mereka yang tidak bersetuju bahagian mereka diusahakan semula.

"Pernah berlaku usahawan terpaksa mencabut semula pokok-pokok yang telah ditanam kerana pemilik berubah fikiran walapun telah memberi persetujuan pada peringkat awal," kata beliau.

Selain itu, ujarnya, terdapat usahawan yang gagal melaksana atau meneruskan projek setelah perjanjian dimeterai dan akibatnya, kawasan tanah sawah terus terbiar buat beberapa ketika sehingga diambil alih oleh pengusaha lain.

Bagaimanapun, jelas Zabidi, projek ini akan tetap diteruskan dengan melakukan penambahbaikan dari semasa ke semasa kerana ia mendatangkan banyak manfaat kepada semua pihak yang terlibat.

(Utusan Malaysia, 14 Jun 2008, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan