Tiga pengusaha stesen minyak disaman

Tiga pengusaha stesen minyak disaman

SEREMBAN 5 Jun - Tiga pengusaha stesen minyak di sekitar negeri ini disaman susulan keengganan mereka menjual minyak kepada pengguna dalam operasi pemantauan yang dijalankan semalam.

Menurut Timbalan Pengarah Bahagian Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Mohamad Noor Musa, tindakan tersebut diambil bagi memastikan mereka tidak menyorok minyak untuk dijual dengan harga baru yang lebih tinggi kepada pengguna.

Beliau berkata, pihaknya menjalankan operasi pemantauan di seluruh negeri bermula pada pukul 6 petang semalam selepas menerima aduan daripada orang ramai tentang penutupan beberapa stesen minyak.

Tambahnya, hasil pemantauan, dua pengusaha di sekitar Port Dickson dan satu di sekitar Port Dickson disaman kerana didapati enggan menjual minyak dengan menutup stesen masing-masing.

''Ketiga-tiga pemilik stesen akan didakwa di bawah Akta 16A(1b) Akta Kawalan Bekalan 1961," ujar Mohamad Noor ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau menjelaskan, kira-kira 50 pegawai penguat kuasa KPDNHEP negeri digerakkan dalam operasi pemantauan itu.

Tegasnya, KPDNHEP negeri tidak berkompromi dengan sikap pengusaha stesen minyak yang mengejar keuntungan semata-mata hingga sanggup melanggar undang-undang.

Sementara itu, kata beliau, tujuh stesen di sekitar negeri ini kehabisan minyak lebih awal berikutan permintaan luar biasa daripada pengguna yang berpusu-pusu mengisi minyak sebelum harga baru dikuatkuasakan.

Ujar Mohamad Noor, keadaan di kesemua stesen minyak penuh sesak dengan kenderaan sehingga tengah malam tadi.

''Bagaimanapun, tiada kejadian yang tidak diingini berlaku dan polis turut membantu mengawal keadaan," kata beliau.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mengumumkan harga baru petrol pada RM2.70 seliter dengan kadar kenaikan sebanyak 78 sen seliter.

Beliau turut mengumumkan harga baru diesel pada RM2.56 seliter dengan kadar kenaikan RM1 seliter.

(Utusan Malaysia, 5 Jun 2008, m/s 31)

Catat Ulasan

0 Ulasan