Petisyen kerusi Rembau ditolak dengan kos
SEREMBAN 4 Jun - Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak dengan kos petisyen yang difailkan oleh Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Badrul Hisham Shaharin bagi mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 bagi kerusi Parlimen Rembau sebagai tidak sah.
Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, kerusi Parlimen Rembau dimenangi oleh calon Barisan Nasional (BN) yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dengan majoriti 5,726 undi.
Hakim Datuk Mohtarudin Baki, dalam penghakimannya berkata, terdapat banyak kecacatan dalam petisyen yang difailkan serta pempetisyen gagal menunjukkan bukti berlaku ketidakpatuhan peraturan yang boleh memberi kesan terhadap keputusan pilihan raya di Parlimen Rembau.
Jelas beliau, petisyen tersebut ditolak oleh mahkamah kerana tidak mematuhi Seksyen 32(b) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Menurut hakim pilihan raya itu, petisyen tersebut dianggap cacat dari segi teknikal kerana pempetisyen hanya mengemukakan satu dokumen petisyen yang asal sedangkan beliau sepatutnya menghantar dua lagi salinan petisyen berkenaan kepada mahkamah.
Tambah Hakim Mohtarudin, mahkamah juga mendapati pempetisyen tidak meletakkan perkataan 'deklarasi' dalam setiap relif yang dikemukakan dan ini merupakan satu kecacatan teknikal.
Di samping itu, kata beliau, pempetisyen juga gagal menunjukkan berlaku ketidakpatuhan dalam pelaksanaan peraturan pilihan raya yang sekiranya berlaku boleh memberi kesan kepada keputusan pilihan raya di Parlimen Rembau.
"Berdasarkan kepada alasan-alasan tersebut, mahkamah menolak petisyen ini dengan kos," ujarnya ketika membacakan penghakimannya.
Pada 25 April lalu, Badrul memfailkan petisyen dengan menamakan Khairy sebagai responden pertama dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden kedua.
Beliau diwakili oleh barisan peguam, Robert Lazar, N. Sivanathan, Razlan Hadri dan Sheila Lingam sementara Khairy diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah dan Badrul Munir Bukhari.
SPR pula diwakili oleh barisan Peguam Kanan Persekutuan, Mohammed Al Saifi Hashim, Siti Salwa Musa, Sharifah Haslina Syed Omar dan Suhaila Haron.
Dalam petisyennya, Badrul mendakwa tidak menerima Borang 14 yang menyenaraikan jumlah undi di setiap pusat mengundi daripada SPR.
Selain itu, beliau turut menyebut terdapat perbezaan di antara jumlah kertas undi bagi Parlimen Rembau dan jumlah kertas undi bagi empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Parlimen berkenaan.
Petisyen berkenaan juga mendakwa SPR gagal memastikan proses pilihan raya berjalan secara bebas dan adil.
"Saya akan berbincang dengan peguam terlebih dahulu sebelum membuat pertimbangan untuk memfailkan rayuan terhadap penghakiman ini di Mahkamah Persekutuan," katanya ketika ditemui pemberita.
(Utusan Malaysia, 5 Jun 2008)
0 Ulasan