Bangunan bersejarah sentiasa dipulihara

Bangunan bersejarah sentiasa dipulihara

SEREMBAN 4 Jun - Lembaga Muzium Negeri Sembilan (LMNS) sedang giat mengenal pasti dan menyenaraikan rumah tradisional, rumah ibadat, monumen dan tempat yang mempunyai nilai sejarah di negeri ini bagi dicadang untuk diwartakan sebagai kawasan peninggalan sejarah.

Menurut Pengarah LMNS, Dr. Shamsuddin Ahmad, usaha ini sememangnya amat perlu bagi memulihara warisan peninggalan sejarah supaya dapat terus ditatapi oleh generasi akan datang.

Jelas beliau, kawasan bersejarah mungkin akan pupus ditelan arus pembangunan yang kian pesat sekiranya langkah pewartaan tidak dilaksanakan.

Tambahnya, pewartaan juga perlu bagi membolehkan Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KeKKWa) menyalur peruntukan bagi memulihara kawasan bersejarah berkenaan.

''Rumah keluarga Tan Guan Hing di Kuala Pilah merupakan salah satu daripada kawasan bersejarah yang telah diwartakan oleh KeKKWa pada tahun 2005.

''Selepas diwartakan, KeKKWa telah menyalurkan peruntukan berjumlah kira-kira RM50,000 untuk memulihara rumah tersebut," kata Shamsuddin ketika dihubungi di sini hari ini.

Ujar beliau, rumah keluarga Guan Hing mempunyai nilai sejarah yang tinggi kerana ia melambangkan kebudayaan masyarakat Cina di pekan Kuala Pilah dan di negeri ini.

Di samping itu, jelasnya, mendiang Guan Hing juga merupakan salah seorang tokoh perniagaan Cina yang berjaya di Kuala Pilah dan banyak menyumbang kepada kemajuan pekan itu.

Kata Shamsuddin, kerja-kerja pemuliharaan yang dijalankan pada rumah keluarga Guan Hing termasuk mengecat semula dan membaiki kerosakan bangunan.

Beliau menambah, kerajaan akan melaksanakan kerja-kerja pemuliharaan dari semasa ke semasa ke atas rumah berkenaan.

Jelasnya lagi, LMNS akan sentiasa berusaha untuk memastikan bangunan bersejarah di negeri ini kekal terpelihara.

''Selepas rumah keluarga Guang Hing, LMNS juga akan mengemukakan cadangan pewartaan kawasan bersejarah yang lain setelah proses penyenaraian selesai," ujar Shamsuddin.

(Utusan Malaysia, 5 Jun 2008, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan