Keunikan rumah Guan Hing
|
KUALA PILAH 4 Jun - Setiap pengunjung pekan Kuala Pilah pasti tidak terlepas pandang sebuah rumah antik dihiasi ukiran penuh berseni dan indah yang terletak berhampiran Terminal Bas Kuala Pilah.
Keunikan seni bina tradisional masyarakat Cina yang menjadi tema rumah keluarga Tan Guan Hing di No. 168, Jalan Yamtuan Antah di sini membuatkan ia kelihatan lebih menonjol berbanding dengan premis lain di sepanjang deretan bangunan rumah kedai yang berjiran dengannya.
Lebih menarik lagi, sebuah peti surat yang dipercayai digunakan sejak era penjajahan Inggeris di hadapan pintu masuk rumah ini menambah nilai sejarah lantas menggamit nostalgia sesiapa yang memandang.
Namun, kehadiran kereta dan motosikal yang diletakkan di tepi jalan berhampiran rumah keluarga Guan Hing mengingatkan kita bahawa premis ini merupakan satu warisan peninggalan sejarah yang tidak ternilai dalam dunia yang semakin ditelan arus kemodenan.
Setelah memasukinya, keindahan ruang dalam rumah ini jelas terserlah dengan susunan perabot dan barang perhiasan antik yang dijaga rapi oleh pemiliknya.
Menurut pemiliknya, Tan Kim Siah, 78, rumah ini dibina pada tahun 1927 oleh mendiang ayahnya, Guan Hing, yang berhijrah ke pekan ini dari wilayah Fujian, China.
Kata beliau, mendiang ayahnya mula mencari nafkah sebagai pemborong getah sebelum mengembangkan perniagaan ke bidang lain.
''Sebahagian hasil keuntungan perniagaan digunakan oleh ayah saya untuk membiayai pembinaan rumah seluas kira-kira 1,200 kaki persegi ini," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.
Beliau menambah, tukang yang membina rumah keluarga Guan Hing setinggi dua tingkat ini didatangkan khas dari negara China malah hampir keseluruhan perabot dan barang perhiasan di dalam rumah diimport dari negara itu.
Kim Siah yang ketika muda bekerja sebagai pengurus ladang di Jerantut, Pahang kini mendiami rumah ini dengan beberapa ahli keluarga yang lain.
Ujarnya, beliau merupakan anak keempat daripada enam adik-beradik dan dua daripadanya telah meninggal dunia.
''Ada ketikanya saya rasa sunyi kerana pada suatu ketika dahulu rumah yang mempunyai empat ruang di tingkat bawah dan lima bilik tidur di tingkat atas ini pernah dihuni oleh kira-kira 40 ahli keluarga.
''Kini bilangan ahli keluarga Tan Guan Hing semakin besar namun ramai daripada mereka berhijrah ke luar negara seperti ke Singapura, Australia dan Amerika Syarikat,'' jelasnya.
Bagaimanapun, kata beliau lagi, suasana di rumah Guan Hing memang cukup meriah setiap kali hampir 100 ahli keluarganya dari seluruh ceruk rantau pulang meraikan Tahun Baru Cina di sini setiap tahun.
Tambah Kim Siah, seramai kira-kira 30 hingga 40 pelawat mengunjungi rumah Guan Hing setiap tahun dan ada juga yang datang dari luar negara.
Menurutnya lagi, ada pelawat yang ingin membeli perabot dan barang perhiasan di rumah ini dengan harga yang sangat lumayan namun tidak terlintas di hati beliau untuk menjualnya.
''Saya ingin menyimpan kesemuanya sebagai warisan peninggalan keluarga Guan Hing supaya boleh dihayati oleh generasi akan datang,'' kata beliau.
Ujar Kim Siah, kerajaan pernah memberi sumbangan sebanyak RM50,000 bagi membiayai kos memulihara rumah keluarganya.
''Saya berterima kasih di atas sumbangan yang diberikan oleh kerajaan. Cuma saya berharap lebih banyak pihak sama ada kerajaan atau swasta akan menghulurkan sumbangan supaya usaha memulihara rumah ini boleh dilaksanakan dengan lebih giat lagi,'' katanya.
Beliau juga menyatakan langkah kerajaan mewartakan rumah keluarga Guan Hing pada tahun 2005 sebagai bangunan peninggalan sejarah akan memastikan ia terus terpelihara daripada arus pembangunan moden yang mungkin melanda pekan ini pada masa akan datang.
Di samping itu, Kim Siah percaya rumah keluarga Guan Hing berpotensi menjadi salah satu tarikan pelancongan khususnya kepada individu yang berminat mengkaji sejarah dan kebudayaan masyarakat Cina di negeri ini.
(Utusan Malaysia, 5 Jun 2008, m/s 26)
0 Ulasan