'Kami sentiasa diawasi dan dijaga'

'Kami sentiasa diawasi dan dijaga'

PORT DICKSON 27 Mei - Orang ramai yang berkelah dan mandi-manda di Pantai Batu 8, Telok Kemang di sini menyatakan mereka rasa selamat dengan kehadiran Unit Penyelamat Pantai Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di situ.

Pembantu tadbir, Lee Siew Kwoon, 26, berkata, beliau kerap melihat anggota penyelamat pantai MPPD meronda di sepanjang pantai berkenaan.

Ujarnya, langkah MPPD menempatkan Unit Penyelamat Pantai di kawasan tersebut memang sangat wajar kerana Pantai Batu 8, Telok Kemang penuh sesak dengan orang ramai terutamanya di musim cuti sekolah dan hari kelepasan am.

''Cuma saya harap anggota penyelamat memakai pakaian seragam yang membolehkan orang ramai mengenal pasti mereka dengan mudah semasa berlaku kecemasan," kata Siew Koon ketika ditemui di sini semalam.

Menurut peniaga, L. Radha, 40, kehadiran Unit Penyelamat Pantai MPPD merupakan salah satu sebab beliau sekeluarga memilih Pantai Batu 8, Telok Kemang sebagai destinasi percutian.

''Memang bagus ada penyelamat pantai di sini. Saya membawa anak yang masih kecil bersama dan sekiranya berlaku kecemasan, saya yakin mereka akan segera bertindak," ujar beliau.

Namun, Radha berharap tiada insiden cemas menimpa ahli keluarganya hingga memerlukan bantuan penyelamat pantai.

Jelas beliau lagi, berdasarkan kepada pemerhatiannya, anggota penyelamat pantai MPPD bertindak pantas membunyikan siren amaran dan mengarahkan orang ramai beredar dari kawasan tersebut apabila keadaan pantai menjadi berbahaya.

Sementara itu, eksekutif teknikal, Hisham Mamat, 37, mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan yang boleh dilaksanakan oleh Unit Penyelamat Pantai MPPD untuk meningkatkan tahap keselamatan di Pantai Batu 8, Telok Kemang.

Kata beliau, papan tanda perlu dipasang di beberapa lokasi di sepanjang pantai berkenaan untuk memaklumkan kepada orang ramai nombor telefon Unit Penyelamat Pantai supaya mudah dihubungi apabila berlaku kecemasan.

''Di samping itu, anggota penyelamat di Pantai Cherating akan menaikkan bendera merah apabila keadaan didapati tidak selamat. Saya fikir langkah yang serupa boleh dilakukan di sini," jelasnya.

Selain Unit Penyelamat Pantai MPPD, kawasan pantai ini turut dikawal oleh Unit Penyelamat Pantai Jabatan Pertahanan Awam (JPA3).

Apa yang pasti, apabila anda berada di pantai Port Dickson ini, kelibat anggota penyelamat pantai ini akan membuatkan anda merasa selesa, selamat dan sentiasa diawasi mereka.

(Utusan Malaysia, 26 Mei, m/s 28)

Catat Ulasan

0 Ulasan