Baywatch Port Dickson
PORT DICKSON 27 Mei - Satu ketika dahulu, siri televisyen Baywatch, kisah pasukan penyelamat pantai yang dibintangi oleh pelakon-pelakon terkenal Hollywood, antaranya David Hasselhoff sebagai Mitch Bucannon dan Pamela Anderson sebagai CJ, memang sangat popular di negara ini.
Namun, mungkin ramai di antara kita yang selalu mengunjungi Pantai Batu 8, Telok Kemang kurang menyedari tentang kewujudan sepasukan unit Baywatch di situ.
Unit Penyelamat Pantai Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) yang ditubuhkan sejak 16 Ogos 1994 ini dianggotai empat penyelamat pantai yang bertanggung jawab mengawal keselamatan pengunjung yang berkelah dan mandi-manda di sepanjang pantai berkenaan.
Menurut Ketua Penyelamat Pantai MPPD, Raja Kamal Ariffin Raja Musa, 56, hakikat sebenar tugas sebagai penyelamat pantai memang jauh berbeza daripada suasana penuh glamor seperti digambarkan dalam siri Baywatch.
Beliau yang lebih mesra dengan gelaran 'King' berkata, bidang pekerjaan ini memang sangat mencabar dan perlu sentiasa bersedia menghadapi situasi mencemaskan ketika menyelamatkan mangsa yang kelemasan.
''Unit Penyelamat Pantai MPPD merupakan yang pertama diwujudkan di negara ini dan saya merupakan satu-satunya daripada empat anggota perintis yang masih berkhidmat.
''Saya menyertai unit ini sebaik sahaja bersara daripada perkhidmatan sebagai jurulatih jasmani Tentera Laut Diraja Malaysia 14 tahun lalu dan boleh dikatakan saya merupakan penyelamat pantai yang paling veteran di negara ini," ujarnya ketika ditemui di sini hari ini.
Selain Raja Kamal Ariffin, Unit Penyelamat Pantai MPPD turut dianggotai Mohd. Bazaruddin Rabain, Mohd. Anuar Idris dan Azli Ismail.
Unit ini turut dilengkapi dengan sebuah menara kawalan pantai, sebuah jet ski serta peralatan menyelamat seperti jaket dan pelampung.
''Memang kami jauh berbeza dengan penyelamat pantai seperti dalam siri Baywatch kerana tiada wanita cantik dan seksi yang menjadi anggota unit ini," kata beliau dalam nada berseloroh.
Jelas Raja Kamal Ariffin, seorang penyelamat pantai perlu memiliki kelayakan sijil Bronze Medal di samping berkemahiran dalam melakukan pertolongan cemas.
Di samping itu, tambah beliau, penyelamat pantai perlu sentiasa cergas dan sihat serta mempunyai naluri tajam untuk mengesan sebarang perubahan persekitaran alam seperti gelombang besar atau ribut yang boleh membahayakan pengunjung di kawasan berkenaan.
''Contohnya, jika ombak naik melebihi ketinggian satu meter atau ribut dijangka berlaku, kami akan segera membunyikan siren amaran dan mengarahkan semua pengunjung segera beredar dari kawasan pantai," ujarnya.
Raja Kamal Ariffin menjelaskan beliau dan anggotanya bertugas mengawal Pantai Batu 8, Telok Kemang dari pukul 8 pagi hingga 5 petang setiap Isnin hingga Jumaat serta dari pukul 8 pagi hingga 8 malam setiap Sabtu, Ahad dan hari kelepasan am.
Beliau berkata, orang ramai dinasihatkan supaya tidak berenang di laut di luar waktu penyelamat pantai kerana boleh mendatangkan bahaya kepada mereka.
''Bagaimana pun, masih ada yang berdegil dan kebanyakan kejadian mati lemas berlaku di luar masa kami bertugas. Sehubungan itu, saya berharap orang ramai mematuhi arahan ini demi keselamatan diri mereka sendiri," ujarnya lagi.
Tambahnya, secara purata kurang daripada sepuluh kejadian lemas berlaku setiap tahun dan hampir semua mangsa dapat diselamatkan.
Ujar beliau, kemungkinan mangsa lemas untuk hidup adalah tipis jika gagal diselamatkan dalam masa 15 minit selepas kejadian berlaku.
''Oleh itu, maklumkan kepada penyelamat pantai secepat mungkin apabila kejadian lemas berlaku supaya kami dapat mengambil tindakan segera. Dalam suasana cemas, setiap saat adalah sangat berharga," kata Raja Kamal Ariffin.
Menurut beliau, pengunjung tidak perlu rasa bimbang untuk bermandi-manda di kawasan tersebut kerana bentuk muka bumi pantai yang landai dan tiada tarikan ombak menjadikannya agak selamat.
Namun, nasihatnya, orang ramai perlu mematuhi arahan penyelamat pantai dan ibu bapa hendaklah mengawasi anak-anak kecil dengan sentiasa berada di samping mereka untuk mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
(Utusan Malaysia, 28 Mei 2008, m/s 26)
0 Ulasan