Jajaran politik baharu selepas PRN Sabah?

 

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah berpotensi mencetuskan penjajaran politik baharu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16), kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi.

Beliau berkata, kemungkinan itu tidak mustahil berdasarkan pendedahan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang digantung keahliannya, berhubung kedudukan sokongan dalam Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Benarkah hanya dua Ahli Parlimen Bersatu sahaja yang sokong Tan Sri Muhyiddin Yassin? Manakala 22 lagi sokong Datuk Seri Hamzah Zainudin,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Menurut beliau, pengalaman politik terdahulu menunjukkan peranan Ahli Parlimen lebih kuat berbanding keputusan parti, seperti yang berlaku ketika Langkah Sheraton apabila kejatuhan Tun Dr. Mahathir Mohamad disebabkan tindakan wakil rakyat menarik sokongan.

“Bila Ahli Parlimen UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin, dia juga tumbang. Hatta MKT UMNO juga memutuskan supaya Ahli Parlimen parti itu yang memilih calon Perdana Menteri ke-9. 

"Mereka pilih Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bukan Tengku Razaleigh Hamzah,” katanya.

Justeru, katanya, persoalan kini adalah sama ada kekuatan 22 Ahli Parlimen yang menyokong Hamzah akan menyebabkan Muhyiddin berundur dan mencetuskan penjajaran baharu dalam politik negara.

“Atas alasan ‘win-win’, benarkah perundingan sudah bermula?” katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan