17 NGO Melayu-Islam desak UMNO tinggalkan PH

 


Gabungan 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu-Islam termasuk Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa UMNO supaya tidak lagi bekerjasama dengan DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Presiden Perkasa, Syed Hassan Syed Ali berkata, pertemuan dengan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan beberapa Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO di Menara Dato’ Onn semalam bertujuan menyampaikan harapan agar UMNO menilai semula kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan.

“Tujuan utama perjumpaan adalah untuk menyampaikan harapan agar UMNO tidak bekerjasama lagi dengan Parti DAP, PKR dan  Amanah pada PRU16 yang dijangka diadakan lebih awal iaitu hujung tahun 2026,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Syed Hassan, delegasi NGO turut menzahirkan pendirian agar UMNO tidak bertanding secara solo, sebaliknya menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) atau menghidupkan semula Muafakat Nasional (MN) sekiranya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus berdepan pergolakan dalaman.

“Dalam perjumpaan tersebut juga, kami telah sampaikan perkara-perkara atau isu-isu semasa berkaitan kepentingan Islam, Melayu dan negara yang diganggu-gugat oleh DAP yang mana dilihat UMNO tidak bersungguh-sungguh menentang,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut diberikan penjelasan oleh Asyraf Wajdi berhubung tindakan-tindakan UMNO dalam memperkasakan kepentingan Islam dan Melayu sejak menyertai Kerajaan Madani.

“Pada pendapat kami, ianya boleh dikatakan sangat baik tetapi tidak didedahkan meluas kepada masyarakat Melayu bahawa itu usaha UMNO,” ujarnya.

Syed Hassan menegaskan, pertemuan itu tidak harus disalah tafsir sebagai tanda sokongan NGO-NGO berkenaan kepada kerajaan sedia ada.

“Akhir sekali, kami mahu tekankan bahawa perjumpaan kami dengan pimpinan UMNO semalam bukan bermakna NGO-NGO kami sudah boleh menyokong kerajaan yang ada DAP ini dan ia juga bukan bermakna kami sudah bersetuju atau boleh menerima UMNO bersama kerajaan yang ada DAP.

“Diharapkan perjumpaan tersebut tidak disalah ertikan oleh semua pihak,” katanya.

BACA LAGI






Catat Ulasan

0 Ulasan