Larang arak di sekolah Cina, Guan Eng kata Anwar jolok sarang tebuan

 

Penasihat DAP, Lim Guan Eng menyifatkan kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung larangan penyediaan arak di sekolah sebagai tindakan yang menjolok ‘sarang tebuan’.

Beliau berkata, kenyataan Perdana Menteri itu yang dibuat di Dewan Rakyat telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan masyarakat Cina.

Menurut Guan Eng, amalan menghidangkan arak dalam majlis perkahwinan, jamuan di kuil atau acara kebudayaan masyarakat Cina di dewan sekolah rendah Cina yang berlangsung di luar waktu dan aktiviti sekolah tanpa penglibatan pelajar telah diamalkan sejak zaman merdeka.

“Masyarakat Cina tidak bersetuju dengan pandangan Anwar bahawa larangan arak bukan bertujuan mengenakan nilai Islam atau menyekat hak bukan Islam, sebaliknya untuk menegakkan sekolah sebagai tempat pendidikan untuk kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan semalam.


Katanya lagi, sekolah rendah Cina terkenal sebagai institusi pendidikan yang cemerlang, malah pelajarnya tidak terdedah kepada arak serta memiliki akhlak dan nilai etika yang baik.

Menurut beliau, kadar jenayah rogol, liwat atau penderaan seksual kanak-kanak di sekolah rendah Cina juga rendah.

Guan Eng menambah, rasa tidak puas hati masyarakat Cina berpunca daripada tindakan Anwar yang didakwa “membiarkan dirinya menari mengikut rentak pelampau dan perkauman” dengan mengganggu amalan adat yang tidak menimbulkan kontroversi atau kesan negatif kepada masyarakat Islam.

“Malah, ketika PAS berada dalam kerajaan sekalipun, parti itu tidak pernah mencampuri urusan sekolah rendah Cina, dan aktiviti sebegini diteruskan tanpa gangguan di dewan sekolah Cina,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada hidangan daging babi akan menjadi sasaran seterusnya selepas larangan arak di sekolah kerana makanan itu turut diharamkan di institusi kerajaan.

“Adakah sekolah rendah Cina juga akan berdepan larangan menghidangkannya semasa majlis perkahwinan, jamuan kuil, atau acara kebudayaan masyarakat Cina?” soalnya.

Katanya, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke memahami kebimbangan masyarakat Cina dan telah mengambil inisiatif berbincang dengan Perdana Menteri bagi mencari penyelesaian yang dapat diterima semua pihak agar tradisi serta kebudayaan kaum itu dapat diteruskan di dewan sekolah rendah Cina.

BACA LAGI  





Catat Ulasan

0 Ulasan