Puad tuduh Muhyiddin autokratik, ingkar titah Agong

 


Tindakan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menolak nasihat Yang di-Pertuan Agong agar Perikatan Nasional (PN) menyertai Kerajaan Perpaduan tanpa membincangkannya dalam Mesyuarat Tertinggi (MT) parti disifatkan sebagai keputusan bersifat autokratik.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, perkara itu terbukti apabila bekas Setiausaha Politik Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad mendakwa PN telah mempunyai dasar untuk menolak kerjasama dengan DAP, sedangkan ia jelas melibatkan nasihat daripada Seri Paduka  yang wajar diperhalusi bersama kepimpinan tertinggi parti.

“Rupanya Muhyiddin tidak bawa ke MT PN sebelum tolak nasihat Yang di-Pertuan Agong agar PN menyertai Kerajaan Perpaduan. Itu didedahkan oleh Wan Ahmad Fayhsal yang digantung. 

"Jawapan bekas setpol Muhyiddin pula ialah PN sudah ada dasar iaitu menolak kerjasama dengan DAP. Isunya ialah itu nasihat Yang di-Pertuan Agong. Kenapa tidak bincang dahulu dalam MT PN?” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Menurut Mohd. Puad, alasan yang diberikan hanyalah helah kerana Muhyiddin sebenarnya masih obses mahu menjadi Perdana Menteri.

“DAP bukan isu. Kenapa tahun 2021 apabila nyawa sebagai PM di hujung tanduk, Muhyiddin sanggup jemput semua parti termasuk DAP untuk buat MOU bipartisan (rentas parti)?” katanya.

Beliau berkata, tindakan Muhyiddin yang ingkar nasihat Yang di-Pertuan Agong dan tidak membincangkannya dalam MT PN menunjukkan sikap mementingkan diri serta tidak menghormati institusi diraja.

“Ternyata Marzuki bohong. Muhyiddin hanya fikirkan dirinya untuk jadi PM. Sebab itu dia ingkar kepada nasihat YDP Agong dan tidak bincang dalam MT PN. Bukankah itu autokratik?” katanya.

BACA LAGI  







Catat Ulasan

0 Ulasan