Jangan lahirkan generasi seperti menteri kaki mabuk! - Akmal

 

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Akmal Saleh menegaskan pendirian bahawa mana-mana institusi pendidikan tidak seharusnya dijadikan tempat untuk meminum arak.

Beliau berkata, rakyat masih menunggu tindakan tegas kerajaan dalam menangani isu pemandu mabuk yang sering mengundang tragedi, termasuk langkah mendidik masyarakat tentang bahaya minuman keras di peringkat sekolah.

“Kes pemandu mabuk langgar orang masih lagi tidak selesai dengan baik dan rakyat mengharapkan satu langkah yang tuntas untuk mendidik rakyat tentang bahaya minuman keras untuk diajar di sekolah. 

"Tetapi rupanya tempat yang dikatakan mendidik juga kerajaan bagi tempat minum arak,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.

Dr. Akmal menegaskan bahawa Pemuda UMNO kekal dengan pendirian asal Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tempat pendidikan tidak seharusnya dibenarkan menjadi lokasi meminum arak.

Beliau turut mempersoalkan sebab kerajaan tidak lagi menggunakan pendirian asal Perdana Menteri berhubung perkara itu.

“Adakah pihak kerajaan menganggap bahawa minuman keras itu boleh mendatangkan kebaikan kepada rakyat baik dari segi kesihatan mahupun sosial? 

"Jika ada maka boleh nyatakan juga, mungkin rakyat selama ini tidak sedar akan kebaikan minuman keras kot,” katanya.

Jelas beliau, kerajaan tidak sepatutnya membuat keputusan yang salah hanya kerana bimbang kehilangan undi.

“Nak minum arak ke, nak mabuk sampai berbuih mulut ke, pergi cari tempat lain! 

"Jangan lahirkan generasi seperti menteri yang kaki mabuk tu!” katanya.

BACA LAGI  









Catat Ulasan

0 Ulasan