Wan Ahmad Farid dilantik Ketua Hakim Negara

 

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenankan pelantikan Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu.

Pelantikan itu dibuat berdasarkan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan, atas nasihat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah dalam kenyataan semalam memaklumkan, dua lagi pelantikan turut diperkenankan iaitu Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan dan Datuk Hajah Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, menggantikan penyandang jawatan yang bakal bersara.

“Majlis penyampaian watikah pelantikan dan istiadat mengangkat dan menandatangani sumpah jawatan serta sumpah setia di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan diadakan pada 28 Julai 2025 di Istana Negara,” menurut kenyataan itu.

Wan Ahmad Farid menggantikan Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang bersara wajib pada 2 Julai lalu selepas memegang jawatan Ketua Hakim Negara selama enam tahun.

Susulan persaraan Tengku Maimun, Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim, telah diumum menjalankan kuasa dan tugas Ketua Hakim Negara hingga jawatan itu diisi.

Sementara itu, Abu Bakar pula menggantikan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim yang bersara wajib pada 3 Julai lalu.

Susulan persaraan Abang Iskandar, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof, dilantik untuk menjalankan kuasa dan tugas Presiden Mahkamah Rayuan hingga jawatan itu diisi.

Wan Ahmad Farid, 62, dilahirkan pada 13 November 1962 dan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 12 November 2024, selepas berkhidmat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi sejak 8 Ogos 2019 serta Pesuruhjaya Kehakiman pada 16 Disember 2015.

Beliau pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menyertai politik menerusi UMNO, namun dilaporkan meninggalkan arena itu pada 2013. 

Beliau juga pernah menjadi Ahli Dewan Negara dari 2005 hingga 2009 dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Dalam Negeri dari 2008 hingga 2009. 

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu pada 2009, beliau bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) tetapi tewas.

Sementara itu, Abu Bakar sebelum ini dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan pada 13 Jun 2023, Hakim Mahkamah Rayuan pada 5 Disember 2019, Hakim Mahkamah Tinggi pada 21 Mac 2016 serta Pesuruhjaya Kehakiman pada 8 Julai 2013.

Azizah pula memegang jawatan sebagai Hakim Mahkamah Rayuan sejak 8 Ogos 2019, selepas dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada 12 September 2014 dan Pesuruhjaya Kehakiman pada 1 November 2012.




Catat Ulasan

0 Ulasan