Puad ingatkan Muhyiddin jangan masuk bakul angkat sendiri

 


Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai 'masuk bakul angkat sendiri' apabila mendakwa kerajaan pimpinannya dahulu berjaya menyelesaikan pelbagai isu rakyat.

Menurut beliau, kenyataan Muhyiddin itu dibuat semasa perhimpunan ‘baju hitam’ di Stadium Sultan Abdul Halim, Kedah malam tadi yang kononnya akan menyaksikan amanat penting daripada beberapa pemimpin termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad, Muhyiddin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang.

“Rupanya sembang retorik. Muhyiddin mendakwa dia ada solusi untuk menyelesaikan isu rakyat. Dia mendabik dada kononnya kerajaan 17 bulannya dulu berjaya. 

"Termasuk mengharungi pandemik Covid-19,” katanya menerusi hantaran Facebook hari ini.

Mohd. Puad turut mengingatkan kegagalan pentadbiran Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Kelapan yang menurutnya menyebabkan kadar kematian akibat Covid-19 meningkat mendadak ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh.

“PKP separa masak telah menggandakan jumlah kematian dari 2,800 kepada 5,768 dalam tempoh 38 hari ‘total lockdown’ diumumkan.

“Indeks Pengendalian Covid-19 yang dikeluarkan Bloomberg meletakkan Malaysia di tempat ke-3 paling corot antara 53 negara ekonomi utama,” katanya.

Tambah beliau, Muhyiddin tidak seharusnya berbangga dengan moratorium pinjaman dan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana ia merupakan idea Datuk Seri Najib Tun Razak dan syarat sokongan Barisan Nasional (BN) kepada kerajaan PN ketika itu.

“Tetapi skim i-Citra yang dia laksana jadi i-Marah kepada rakyat,” katanya.

Menurut Mohd. Puad lagi, kemuncak kegagalan Muhyiddin ialah apabila rakyat terpaksa memacak bendera putih kerana terputus bekalan makanan.

“Kemuncak gagalnya Muhyiddin ialah rakyat memacak #BenderaPutih di merata tempat. Mereka terputus bekalan makanan. Muhyiddin lupa ke?” katanya.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan