Ketua-ketua UMNO bahagian dari seluruh negara mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar segera melaksanakan titah adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang memperkenankan Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman melalui tahanan dalam rumah.
Dalam kenyataan bersama selepas pertemuan tertutup di Kuala Lumpur malam tadi, mereka menegaskan bahawa tiada sebarang alasan lagi untuk melengah-lengahkan pelaksanaan titah tersebut.
“Tiada sebarang alasan lagi untuk melengah-lengahkannya,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan tersebut turut mengingatkan bahawa rakyat telah pun maklum mengenai kewujudan dan kesahihan titah berkenaan apabila Istana Pahang secara rasmi memperakukan perkara itu melalui surat bertarikh 4 Januari 2025.
“Malah, Mahkamah Rayuan yang bersidang pada 6 Januari 2025 turut memutuskan bahawa titah adendum itu adalah wujud dan mempunyai asas perundangan,” kata kenyataan itu lagi.
Menurut mereka, tindakan Peguam Negara yang didakwa menyembunyikan titah adendum tersebut lebih dari setahun merupakan satu pengkhianatan kepada prinsip Raja Berperlembagaan serta satu pencabulan kepada keluhuran undang-undang negara.
“Tindakan yang amat mendukacitakan seluruh ahli parti dan rakyat Malaysia yang menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan.
“Tindakan menyorok ini jelas melanggar prinsip ketelusan (transparency) dan kebertanggungjawaban (accountability) dalam pentadbiran undang-undang negara.
"Lebih malang lagi, tindakan ini mencemar budi bicara Yang di-Pertuan Agong ke-16 serta Raja-raja Melayu secara keseluruhan.
"Ia juga secara langsung telah menafikan keadilan yang sewajarnya diterima oleh Najib,” ujar mereka.
Pertemuan tersebut diadakan atas inisiatif bersama ketua-ketua UMNO bahagian seluruh negara sebagai respon kepada kenyataan media Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki pada 11 Julai lalu berhubung isu titah adendum.
Ketua-ketua UMNO bahagian turut mendesak agar Peguam Negara menarik balik permohonan rayuan ke Mahkamah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 6 Januari lalu.
“Sebagai penasihat undang-undang tertinggi kerajaan, Peguam Negara seharusnya menjunjung titah raja dan mendukung keadilan, bukan menghalangnya,” kata mereka.
Pada masa yang sama, mereka mencadangkan agar semua UMNO bahagian yang belum bersidang membawa usul khas mengenai isu titah adendum dalam persidangan masing-masing.
“Usul ini penting sebagai bukti kesepakatan dan solidariti parti dalam mempertahankan institusi raja-raja Melayu serta menegakkan prinsip keadilan untuk semua,” jelas mereka.
Ketua-ketua UMNO bahagian turut menegaskan bahawa perjuangan ini bukan semata-mata soal individu.
“Tetapi adalah soal kedaulatan undang-undang, penghormatan kepada Institusi Diraja, dan prinsip keadilan yang wajib dipertahankan bersama,” tegas mereka.
0 Ulasan