Perbaiki persepsi negatif terhadap institusi kehakiman - Sekretariat Melayu Berdaulat

 


Sekretariat Melayu Berdaulat (SMB) menyeru Ketua Hakim Negara yang baharu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh, agar melaksanakan tanggungjawab besar itu dengan penuh etika dan profesionalisme.

SMB berkata, tugas itu perlu dilaksanakan berlandaskan prinsip kebenaran serta keadilan tanpa memihak kepada mana-mana pihak.

“Sebarang kepincangan atau persepsi negatif terhadap institusi kehakiman perlu diperbaiki secara tuntas dan berani, demi mengembalikan keyakinan rakyat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini

SMB menjunjung kasih atas perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dalam pelantikan tersebut dan menzahirkan komitmen untuk terus mendukung keluhuran Perlembagaan serta kedaulatan undang-undang negara.

Menurut SMB, Malaysia pernah melahirkan tokoh-tokoh kehakiman yang dihormati atas integriti, prinsip dan ketegasan mereka dalam menjulang keadilan.

“Antaranya ialah Allahyarham Prof. Ahmad Ibrahim, Allahyarham Tun Salleh Abas, Allahyarham Mohamed Suffian Mohamed Hashim dan Allahyarham Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah. 

"Legasi mereka harus dijadikan penanda aras dalam usaha memastikan institusi kehakiman kekal bebas, telus dan tidak tunduk kepada sebarang tekanan politik,” tambahnya.

SMB turut mengingatkan bahawa institusi kehakiman merupakan benteng terakhir dalam mempertahankan keadilan dan kebenaran.

“Justeru, SMB menyeru semua pihak agar memelihara martabat dan kewibawaan badan kehakiman demi masa depan negara yang lebih adil, berintegriti dan berdaulat,” ujarnya.

BACA LAGI 



Catat Ulasan

0 Ulasan