Membongkar rahsia Makam Datuk Moyang Salleh

Membongkar rahsia Makam Datuk Moyang Salleh

JELEBU – Makam Datuk Moyang Salleh dan Masjid Kuala Dulang yang terletak berhampiran pekan Kuala Klawang di sini mempunyai nilai sejarah yang tersendiri.

Menurut Kurator Muzium Adat, Prof. Norhalim Ibrahim, Datuk Moyang Salleh yang juga Undang Luak Jelebu yang pertama dipercayai hidup di sekitar awal abad ke-18 dan merupakan anakanda kepada Datuk Mentunggang serta cucunda Datuk Moyang Aceh.

‘‘Datuk Moyang Salleh terkenal dengan kegagahan dan keberaniannya. Almarhum merupakan tokoh yang memerdekakan Jelebu daripada jajahan takluk Johor.

“Peristiwa yang dikenali sebagai ‘Memutuskan Tali ke Johor’ itu dipercayai berlaku pada tahun 1725 dan Sultan Johor pada ketika itu berkenan mengurniakan gelaran Datuk Menduleka Menteri Akhir Zaman Sultan Jelebu kepada Datuk Moyang Salleh,” jelas beliau.

Gelaran tersebut dipakai oleh Datuk-Datuk Undang yang menyusul Almarhum dan selepas Undang Yang Ke-11, Datuk Syed Ali Syed Zain al-Jafri, ia dipendekkan kepada Dato’ Mendika Mentri Akhirul-Zaman hingga ke hari ini.

Minangkabau

Sementara Masjid Kuala Dulang yang struktur asalnya dibina di sekitar abad ke-16 terletak di kawasan penempatan pertama pendatang Minangkabau di Jelebu.

‘‘Pendatang Minangkabau tersebut datang ke sini melalui dua jalan. Jalan yang pertama dikenali sebagai Jalan Penarikan bermula dari Sungai Muar menyusur ke Sungai Langkap hingga ke Sungai Lumut.

‘‘Jalan yang kedua pula bermula dari Sungai Rahang menyusur Sungai Triang seterusnya ke Kuala Dulang,” ujar Norhalim.

Masjid Kuala Dulang merupakan yang tertua di sini dan pernah berfungsi sebagai pusat penyebaran agama Islam yang pertama di Jelebu.

Tambah beliau, kawasan di sekitar Masjid Kuala Dulang ini pada asalnya dihuni oleh Orang Asli dan mereka telah diislamkan oleh dua orang Minangkabau yang bergelar Datuk Nika dan Mudim Khatib Raja.

Kedua-dua tokoh tersebut membina sebuah pondok kecil sebagai tempat berteduh dan menyebarkan ajaran Islam.

Lama-kelamaan, pondok tersebut dibesarkan menjadi Masjid Kuala Dulang dan dipercayai struktur asalnya dibina dengan tidak menggunakan paku.


(Utusan Malaysia, 24 Mac 2008, Laporan Khas, m/s 26. Profesor Norhalim telah meninggal dunia pada awal September 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan