Mengenang pahlawan terbilang
JELEBU – Sepanjang perjalanan dari Seremban ke Kuala Klawang, hati saya sangat teruja kerana berpeluang untuk melawat Makam Datuk Moyang Salleh, tokoh terkenal dalam sejarah Jelebu dan Negeri Sembilan.
Tidak sukar untuk mencari lokasinya kerana bersama saya ialah seorang lagi Kurator Muzium Adat, Mohd. Nasrulamiazam Mohd. Nasir selaku penunjuk jalan, selain Prof. Norhalim Ibrahim.
Ketika memandu, saya sempat membayangkan Makam Datuk Moyang Salleh dijaga dan diuruskan dengan baik seperti Makam Hang Tuah di Tanjung Keling, Melaka.
Tiba di sana, saya bertafakur sejenak sambil menghadiahkan bacaan Al-Fatihah untuk roh Almarhum dan semua nenek-moyang yang pernah disemadikan di tanah perkuburan lama ini.
Pemerhatian saya mendapati persekitaran makam ini bersih dan rimbunan bunga kertas menyuntik sedikit keceriaan walaupun kelihatan agak tenggelam bila berlatarbelakangkan semak-samun di lot-lot tanah berhampiran.
Namun jambatan kayu yang menghubungkan Makam Datuk Moyang Salleh dan struktur yang menempatkan meriam Datuk Undang Abdullah kelihatan usang dan boleh mendatangkan bahaya kepada sesiapa yang menggunakannya.
Struktur yang menempatkan meriam Datuk Undang Abdullah juga nampak uzur dan perlu dibersihkan serta dicat semula.
Cubaan untuk melihat meriam tersebut dari dekat tidak berjaya kerana kami ‘diserang’ oleh sekumpulan penyengat yang bersarang di dalam larasnya.
Lebih malang lagi apabila Mohd. Nasrulamiazam terkena sengatan penyengat di bahagian mukanya sedangkan saya berjaya menyelamatkan diri dari serangga berbisa itu.
Sebelum beredar, saya mengucapkan salam ke atas semua ahli kubur di kawasan Makam Datuk Moyang Salleh dan berharap suasana yang lebih ceria dan indah menyambut kedatangan saya dan pengunjung-pengunjung lain di masa akan datang.
(Utusan Malaysia, 24 Mac 2008, Laporan Khas, m/s 26)
0 Ulasan