Menurut kisahnya, ketika masjid ini mula dibuka, secara tiba-tiba muncul sebuah dulang di atas busut di kawasan sawah berhampiran, selepas jemaah menunaikan solat Zuhur.
Seorang jemaah yang berada di dalam masjid pada ketika itu keluar dan mendapati dulang tersebut berisi dengan nasi dan lauk-pauk.
Sejak itu, dulang ajaib berkenaan muncul setiap kali selepas waktu Zuhur dan yang anehnya makanan yang dihidangkan sentiasa mencukupi untuk semua jemaah, walau berapa ramai pun bilangannya.
Dulang berkenaan dipercayai ghaib sejak 300 tahun lalu dan ia tidak muncul lagi hingga ke hari ini dan Masjid Kuala Dulang mendapat nama bersempena dengan dulang tersebut.
Selain itu, dikatakan pernah berlaku dua banjir besar di kawasan sekitar masjid itu, yang pertama sebelum negara mencapai kemerdekaan dan yang kedua pada tahun 1970 namun yang anehnya masjid tersebut tidak ditenggelami air.
Kurator Muzium Adat, Prof. Norhalim Ibrahim berkata, walaupun Masjid Kuala Dulang ada legenda di sebaliknya, beliau berharap masjid itu lebih dikenali kerana kepentingannya dalam sejarah.
``Kisah legenda berkenaan tidak dapat dipastikan kesahihannya. Yang pasti, masjid ini pernah berfungsi sebagai pusat pengembangan agama Islam yang pertama di Jelebu.
``Saya berharap orang ramai berkunjung ke sini kerana lebih tertarik dengan nilai dan unsur sejarahnya," katanya.
Satu lagi keunikan masjid ini adalah ia mempunyai tabuh yang dibuat dari kayu hutan dan kulit lembu.
Dipercayai tabuh ini sama usianya dengan Masjid Kuala Dulang dan masih lagi diketuk sebagai menandakan waktu masuk solat.
(Utusan Malaysia, 24 Mac 2008, Laporan Khas, m/s 26)
0 Ulasan