Azam politeknik PD lahir graduan serba boleh
|
PORT DICKSON 6 April - Sejak penubuhan pada tahun 1990, Politeknik Port Dickson telah berjaya melahirkan lebih daripada 15,000 orang graduan untuk mengisi keperluan tenaga manusia separa profesional dalam bidang teknikal di negara ini.
Dengan cogan kata 'Bersama Menuju Kecemerlangan', Politeknik Port Dickson berazam untuk muncul sebagai pusat kecemerlangan pendidikan dalam bidang kejuruteraan, perdagangan dan hospitaliti dengan melahirkan graduan yang berketerampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab selaras dengan Falsafah Pendidikan Negara.
Menurut Pengarah Politeknik Port Dickson, Mohd. Kharir Mohd. Ibrahim, institusi ini sentiasa menekankan kecemerlangan modal insan dalam segala aspek dengan meningkatkan modal insan di kalangan semua kakitangan dan pelajar.
''Saya mahu melihat politeknik ini melahirkan graduan yang serba boleh dalam semua bidang dan mempunyai daya kreativiti dan inisiatif yang tinggi.
''Kecemerlangan akademik sememangnya sangat penting namun ia perlu digandingkan dengan aktiviti kerohanian, fizikal dan sosial supaya graduan yang dilahirkan oleh institusi ini seimbang dari segi emosi diri dan hidup bermasyarakat," ujar beliau ketika ditemui di sini hari ini.
Kata Mohd. Kharir, Politeknik Port Dickson menawarkan 25 kursus peringkat diploma dan sijil yang diikuti oleh kira-kira 5,000 pelajar pada setiap semester pengajian.
''Dalam masa yang terdekat, politeknik ini akan turut menawarkan kursus Diploma Lanjutan Kejuruteraan Mekanikal. Kursus selama 4 tahun 6 bulan ini setaraf dengan Ijazah Sarjana Muda di institusi pengajian tinggi yang lain," jelas beliau.
Untuk mewujudkan persekitaran yang selesa bagi pembelajaran, tambah Mohd. Kharir, Politeknik Port Dickson telah diberi peruntukan berjumlah RM12 juta bagi pelaksanaan beberapa projek sepanjang tempoh Rancangan Malaysia Ke-9.
''Di antara projek-projek yang bakal dilaksanakan adalah menaiktaraf perpustakaan dan menambah bangunan asrama untuk penginapan pelajar," ujarnya.
Di samping itu, pelajar-pelajar dan pensyarah dari politeknik ini turut diberi pendedahan di peringkat antarabangsa.
Mohd. Kharir berkata, beberapa orang pelajar dan pensyarah jurusan seni bina dari institusi ini pernah dijemput menyertai delegasi negara ke Mesyuarat Kongres Arkitek Asia Ke-12 dan Mesyuarat Majlis Arcasia Ke-27 di Beijing, China pada tahun 2006.
Selain itu, tambah beliau, pelajar-pelajar Kejuruteraan Awam politeknik ini pernah mengemukakan projek Penghasilan Multi-Purpose Sound Absorber dalam Pertandingan Reka Cipta Hari Harta Intelek Negara 2007.
''Projek tersebut telah berjaya menduduki tempat keempat bagi kategori Kolej/Politeknik/Institut Kemahiran (Sijil dan Diploma) dan menarik perhatian beberapa pihak untuk dipatenkan dan ditawarkan geran penyelidikan dan pembangunan," katanya.
Bila ditanya tentang perancangan dan harapan, Mohd. Kharir menjelaskan beliau akan terus memastikan semangat bekerjasama dalam mengejar kecemerlangan di kalangan warga politeknik ini sebagai satu tradisi yang berterusan.
''Saya percaya dengan adanya semangat ini, kita mampu meletakkan Politeknik Port Dickson setaraf dengan institusi-institusi pengajian tinggi awam yang terunggul di negara ini.
''Yang penting kita semua hendaklah memiliki keyakinan yang tinggi dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamat ini," tegas beliau.
(Utusan Malaysia, Laporan Khas, 7 April 2008, m/s 26)
0 Ulasan