Aspirasi bakal graduan untuk membina negara

Aspirasi bakal graduan untuk membina negara

PORT DICKSON 6 April - Rata-rata mahasiswa dan mahasiswi Politeknik Port Dickson yang ditemui optimis dengan keupayaan institusi itu untuk menghasilkan graduan cemerlang dalam semua aspek dan boleh menyumbang untuk kemajuan negara.

Yang Dipertua Jawatankuasa Program Pelajar, Mohd. Saiful Maamor, 22, berpandangan politeknik tersebut telah melahirkan ramai tenaga kerja separuh profesional untuk keperluan industri di negara ini.

''Saya menaruh harapan Politeknik Port Dickson akan terus meningkatkan aspek pembangunan modal insan dengan menerapkan semangat suka mengejar kemajuan di kalangan warganya dan dalam pada masa yang sama masih mengekalkan nilai-nilai ketimuran.

''Pengalaman sepanjang belajar di sini telah banyak membuka minda saya dan rakan-rakan dan mempersiapkan kami sebagai sekumpulan graduan yang berada di dalam kelas yang tersendiri setelah tamat pengajian nanti," kata beliau yang sedang mengikuti kursus Diploma Teknologi Pembuatan.

Sebagai seorang pelajar yang aktif dalam bidang sukan, Ahmad Dhiyauddin Zaihan, 22, berpuas hati dengan kemudahan sukan dan riadah yang disediakan di sini.

Menurut beliau yang juga sedang mengikuti kursus Diploma Teknologi Pembuatan, Politeknik Port Dickson telah menunjukkan kehebatannya dalam bidang sukan apabila pasukan futsal wanita menjadi johan dalam Kejohanan Sukan Antara Politeknik manakala pasukan futsal lelaki pula muncul sebagai naib johan.

Pelajar kursus Diploma Kejuruteraan Awam dan Ahli Jawatankuasa Asrama, Muhammad Husni Ahmad, 22, berpendapat kemudahan yang disediakan mencukupi dan bersesuaian dengan matlamat pihak pengurusan politeknik untuk mewujudkan satu persekitaran yang selamat, tenteram dan bersih.

''Kami di sini percaya persekitaran yang sedemikian mendatangkan impak yang positif dalam usaha membina jati diri pelajar cemerlang,'' katanya.

Selaku Ahli Jawatankuasa Kerohanian, Norhajar Mazni, 21, beliau banyak melibatkan diri dalam penganjuran program-program berunsur keagamaan.

''Contohnya, baru-baru ini kami telah mengadakan Majlis Sambutan Maulidur rasul dan sambutan yang diterima sangat menggalakkan.

''Jawatankuasa ini juga telah merancang untuk menganjurkan Minggu Penghayatan Islam dan Kursus Perkahwinan," kata beliau yang sedang mengikuti kursus Diploma Kejuruteraan Mekatronik.

Tambah Norhajar, kekuatan rohani dalam diri pelajar perlu dititikberatkan dalam usaha untuk mengejar kecemerlangan.

''Jika kita melihat dari sudut sejarah, pada satu ketika dahulu umat Islam cemerlang dalam semua bidang kerana iman mereka sangat teguh. Pelajar-pelajar di politeknik ini seharusnya mengambil pendekatan serupa kerana ia terbukti berkesan," ujarnya.

(Utusan Malaysia, Laporan Khas, 7 April 2008, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan