Ditubuh bekal tenaga kerja profesional

PORT DICKSON 6 April - Politeknik Port Dickson merupakan institusi politeknik ke-6 yang ditubuhkan di negara ini pada tahun 1990 di bawah seliaan Bahagian Pengurusan Politeknik, Jabatan Pendidikan Teknikal, Kementerian Pelajaran.

Objektif utama penubuhannya adalah untuk menyediakan pendidikan dan latihan kepada pelajar-pelajar lepasan sekolah menengah bagi membekalkan tenaga kerja separa profesional dalam sektor kejuruteraan, komersial dan perkhidmatan.

Pada mulanya, politeknik ini hanya mampu menempatkan kira-kira 400 pelajar dan cuma menawarkan enam kursus di peringkat diploma dan sijil.

Kini, institusi pengajian tinggi awam ini berupaya mengendalikan kira-kira 5,000 pelajar dalam satu-satu semester dan menghasilkan kira-kira 1,500 graduan setiap tahun.

Terdapat 25 kursus peringkat diploma dan sijil yang boleh diikuti di bawah Jabatan Kejuruteraan Awam, Kejuruteraan Elektrik, Kejuruteraan Mekanikal dan Perdagangan.

Politeknik Port Dickson bakal melangkah setapak lagi ke hadapan dengan menawarkan kursus Diploma Lanjutan Kejuruteraan Mekanikal dalam tempoh masa terdekat.

Selain itu, graduan-graduan lepasan sijil politeknik yang telah bekerja boleh mengikuti pengajian peringkat Diploma secara separuh masa di sini.

Pengambilan pelajar baru dijalankan pada bulan Januari dan Julai dengan kemasukan kira-kira 1,200 pelajar pada setiap sesi.

Institusi ini turut menganjurkan kursus-kursus pendek khusus untuk pelajar-pelajar sekolah semasa musim cuti persekolahan.

Menurut Pengarah Politeknik Port Dickson, Mohd Kharir Mohd Ibrahim, kursus pendek tersebut banyak membantu dalam memberi pendedahan kepada pelajar-pelajar sekolah tentang program-program ditawarkan di institusi ini.

``Setelah mengikuti kursus ini, pelajar-pelajar mendapat gambaran yang lebih jelas tentang bidang yang akan mereka pilih untuk melanjutkan pengajian setelah tamat sekolah nanti.

``Kami turut mengadakan program khidmat nasihat di beberapa buah sekolah di negeri ini sebagai satu langkah untuk merapatkan hubungan politeknik ini dengan masyarakat setempat," jelas beliau.

(Utusan Malaysia, Laporan Khas, 7 April 2008, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan