29 premis makanan kotor diarah tutup
|
SEREMBAN 24 April - Jabatan Kesihatan negeri mengeluarkan arahan penutupan sementara kepada 29 daripada 30 premis yang diperiksa dalam satu operasi mengejut yang dilakukan malam tadi di sekitar bandar ini.
Menurut Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Zainal Ariffin Omar, kesemua 29 premis berkenaan diarahkan tutup selama 14 hari setelah didapati tidak memenuhi syarat kawalan mutu kebersihan seperti ditetapkan.
''Operasi bersama 80 anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan negeri dan 13 anggota penguatkuasa kesihatan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) ini dilancarkan susulan aduan orang ramai tentang tahap kebersihan tidak memuaskan di beberapa premis perniagaan makanan di sekitar bandar ini.
''Antara aspek yang diberi tumpuan ketika operasi dijalankan adalah kaedah penyediaan dan pengendalian makanan, kebersihan bekalan air, peralatan, perkakasan dan sistem perparitan serta pengendalian sisa buangan," kata beliau kepada pemberita dalam satu sidang akhbar operasi tersebut di sini hari ini.
Turut serta dalam operasi malam tadi Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Omar Mihat.
Selain daripada arahan penutupan sementara 29 premis oleh Jabatan Kesihatan negeri, MPS turut mengambil tindakan mengeluar kompaun dengan jumlah keseluruhan RM2,500 kepada 10 premis perniagaan makanan yang diperiksa.
Tambah Zainal, pemilik-pemilik boleh memohon untuk membuka semula premis setelah mereka memperbaiki tahap kebersihan premis masing-masing mengikut piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan negeri dalam tempoh 14 hari.
Tegas beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu ini kerana premis perniagaan makanan yang tidak bersih boleh menyebabkan pelanggan berdepan dengan risiko keracunan makanan.
''Sebagai contoh, kami menemui kepingan keju yang berulat di dalam peti sejuk sebuah premis perniagaan makanan malam semalam (malam tadi).
''Sehubungan itu, saya meminta semua pemilik-pemilik perniagaan makanan memastikan premis dan pekerja mereka sentiasa dalam keadaan bersih," ujar Zainal.
Sementara itu, beliau menyatakan sepanjang tahun ini sebanyak 1,061 premis perniagaan makanan telah diperiksa secara mengejut oleh jabatannya dan 102 premis diberi arahan penutupan sementara.
Kata Zainal, selain premis perniagaan makanan, Jabatan Kesihatan negeri turut menjalankan pemeriksaan berkala ke atas gerai, penjaja, kilang makanan, dapur serta kantin sekolah dan hospital.
(Utusan Malaysia, 25 April 2008, m/s 26)
0 Ulasan