Majoriti PBT gagal lapor audit tahunan

Majoriti PBT gagal lapor audit tahunan

SEREMBAN 24 April - Hanya 46 peratus Unit Audit Dalam (UAD) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh negara menyediakan laporan audit tahunan mereka.

Timbalan Ketua Audit Negara (negeri), Anwari Suri berkata, jumlah itu direkodkan berdasarkan laporan tahunan terkini jabatan berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, prestasi penyediaan laporan audit tahunan PBT di seluruh negara berada di tahap tidak memuaskan.

''Mengikut prosedur, UAD di setiap PBT mesti menyediakan Laporan Audit Dalam masing-masing.

''Namun, berdasarkan kepada laporan tahunan terkini jabatan ini, majoriti daripada PBT gagal melakukannya,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membentangkan kertas kerja bertajuk 'Keberkesanan Unit Audit Dalam Pihak Berkuasa Tempatan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak' dalam Simposium Audit Dalam 2008 di Akademi Audit Negara di sini hari ini.

Tambah Anwari, antara alasan yang selalu diberikan ialah kekurangan kakitangan, tiada peruntukan kewangan, tiada isu dibangkitkan dan terikat dengan tugas hakiki.

Jelasnya, kebanyakan PBT tidak mempunyai pegawai atau kakitangan yang ditugaskan khusus untuk UAD.

"Pada masa ini, Jabatan Audit Negara meminjamkan pegawai untuk ditempatkan dalam UAD beberapa PBT, namun jumlah mereka tidak cukup untuk membantu semua PBT di negara ini," kata Anwari.

Dalam pembentangan kertas kerja itu, beliau turut menyebut 42 peratus PBT tidak menyediakan laporan audit tahunan, empat peratus menggabungkan laporan tersebut dengan laporan jabatan, manakala lapan peratus tidak memberi sebarang maklumat.

Anwari juga merumuskan penubuhan UAD di PBT masih belum mencapai matlamat penubuhannya iaitu untuk membantu pengurusan meningkat tahap pematuhan undang-undang, peraturan dan prosedur yang digariskan oleh kerajaan.

Selain itu, beliau menambah, struktur organisasi UAD perlu disusun semula dengan menaiktaraf jawatan ketua unit berkenaan dan menambah bilangan kakitangan.

''Datuk Bandar atau Yang Dipertua juga hendaklah bertanggungjawab memimpin UAD supaya tahap integriti dan akauntabiliti pengurusan kewangan di PBT dapat ditingkatkan,'' ujarnya.

(Utusan Malaysia, 25 April 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan