Kementerian Pertahanan memaklumkan bahawa kehadiran dua kapal Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Santa Barbara (LCS 32) dan USS Tulsa (LCS 16) di Terminal Kontena Butterworth Utara, Pulau Pinang dari 14 hingga 16 Mac 2026 merupakan persinggahan sementara untuk urusan logistik sebelum meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin berkata, persinggahan sementara oleh kapal tentera laut asing di pelabuhan Malaysia bukanlah perkara baharu dan telah lama menjadi amalan dalam hubungan pertahanan serta pelayaran antarabangsa.
Menurut beliau, ini merupakan sebahagian daripada aktiviti diplomasi pertahanan bagi meningkatkan keyakinan serta memelihara kedaulatan dan keutuhan wilayah negara.
"Tujuan utama persinggahan sementara adalah bagi membolehkan kapal melaksanakan urusan logistik seperti ulang bekal, penyelenggaraan ringan serta peluang berehat untuk anak kapal.
"Malaysia mempunyai prosedur dan dasar yang jelas berkaitan kehadiran kapal tentera laut asing di pelabuhan komersial atau pangkalan laut.
"Setiap permohonan untuk berlabuh di pelabuhan Malaysia perlu dikemukakan melalui saluran rasmi dan tertakluk kepada kelulusan kerajaan," katanya dalam kenyataan media pada 18 Mac 2026.
Mohamed Khaled berkata, persinggahan sementara juga berlaku secara berkala melibatkan kapal tentera laut dari pelbagai negara, termasuk negara-negara rakan dan berkepentingan yang melalui laluan perairan negara sama ada Selat Melaka atau Laut China Selatan bagi tujuan eksesais dua hala atau pelbagai hala serta misi.
Katanya, Malaysia terus mengamalkan dasar keterbukaan dalam hubungan pertahanan antarabangsa dalam memastikan kestabilan serantau dan keamanan sejagat seperti yang digariskan dalam Kertas Putih Pertahanan.
Beliau berkata, sepanjang 2025, Malaysia menerima sebanyak 75 kunjungan kapal tentera laut asing dari 14 negara melalui persinggahan pelabuhan antaranya:
• Australia
• Bangladesh
• Britain
• Brunei
• China
• India
• Indonesia
• Itali
• Jepun
• Kanada
• Korea Selatan
• Perancis
• Singapura
• Amerika Syarikat.

0 Ulasan