Satu Majlis Tandatangan Perjanjian Terma-Terma Utama Bagi Penyelesaian Tanah Ladang Komersial (Tidak Berpeneroka) oleh FELDA di Negeri Terengganu antara FELDA dengan Kerajaan Negeri Terengganu telah diadakan di Kementerian Kewangan, Putrajaya pada 18 Mac 2026.
Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Mohd. Azmi Mohamad Daham berkata, beberapa siri rundingan yang telah diadakan antara Kerajaan Negeri Terengganu dengan FELDA telah berhasil memuktamadkan terma-terma utama bagi menyelesaikan isu yang telah berlarutan melebihi tempoh 40 tahun.
Menurut beliau, berdasarkan kepada hasil rundingan tersebut, FELDA akan mengemukakan permohonan pemberimilikan tanah kepada pihak berkuasa negeri dalam tempoh yang dipersetujui selepas perjanjian ditandatangani.
"Kerajaan Negeri Terengganu akan memproses permohonan pemberimilikan tersebut dan tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa negeri, mengeluarkan hak milik kepada FELDA dengan dikenakan bayaran premium dan cukai tanah selaras dengan Kanun Tanah Negara dan Kaedah-Kaedah Tanah Terengganu 1966.
"Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk memberikan kerjasama yang terbaik kepada pihak FELDA bagi melancarkan proses pemberian hak milik kesemua lot-lot tanah tersebut.
"Akhirnya, penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerja keras bagi merungkai dan mencari penyelesaian kepada isu yang telah berlarutan sejak sekian lama," katanya dalam kenyataan media pada 18 Mac 2026.

0 Ulasan