Empat pemimpin Melayu DAP sama sekali tidak bersetuju dengan kehadiran Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi, M. Kulasegaran di mahkamah berjumpa dengan Arun Dorasamy sewaktu beliau didakwa di mahkamah.
Mereka ialah ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman dan Syahredzan Johan serta Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid.
Kata mereka, tindakan tersebut telah mengundang polemik awam mengenai integriti sistem perundangan negara.
"Kami ambil maklum tentang penjelasan beliau mengenai isu ini, namun kedudukan beliau dalam kerajaan menuntut tahap kepekaan yang lebih tinggi terhadap persepsi awam, khususnya berkaitan prinsip bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga perlu dilihat dilaksanakan.
"Kami juga ingin mengesahkan bahawa tiada sebarang keputusan parti untuk menyatakan sebarang kecenderungan terhadap isu ini. Justeru, apa juga tindakan solidariti terhadap Arun Dorasamy tidak mewakili pendirian DAP.
"Dalam hal ini, kami berpendirian bahawa DAP harus mengambil pendekatan jalan tengah iaitu mempertahankan prinsip keadilan dan “innocent until proven guilty” serta keabsahan proses undang-undang, pada masa yang sama mengelakkan sebarang tindakan yang boleh menimbulkan persepsi campur tangan atau keberpihakan," kata mereka dalam kenyataan media pada 18 Mac 2026.

0 Ulasan