Bangkit perangi dadah


Bangkit perangi dadah

KUALA PILAH 22 Mac - Orang ramai di negeri ini diminta bersatu hati menggembleng tenaga membantu kerajaan dalam usaha memerangi gejala najis dadah sebagai musuh nombor satu negara.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, kerajaan negeri sentiasa memandang serius sekali gus bertindak membanteras terhadap segala permasalahan berkaitan dadah.

Mohammad Razi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh menegaskan, tanggungjawab memerangi dadah bukan hanya terletak di bahu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri dan daerah serta pemimpin-pemimpin masyarakat.

''Sebaliknya, setiap anggota masyarakat perlu memberi sokongan padu dan menyahut seruan kerajaan untuk bangkit memerangi gejala dadah," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan program Hari Peringatan Antidadah Kebangsaan peringkat negeri 2009 di Dewan Hadhari, Juasseh dekat sini semalam.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Abd. Samad Ibrahim; Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Shamsulkahar Mohd. Deli serta
Pengarah AADK negeri, Abdul Rahman Hamid.

Lebih 200 pengunjung yang hadir mengikuti sesi Bicara Motivasi oleh Timbalan Mufti kerajaan negeri, Zaidi Ramli di samping persembahan artis-artis terkenal tanah air seperti Hattan, Ebby Yus dan Noraniza Idris.

Tambah Mohammad Razi, masyarakat tidak sewajarnya hanya berpeluk tubuh melihat segala permasalahan berkaitan gejala dadah yang serius berlaku di sekeliling mereka.

''Kita tidak boleh menunggu sehingga masalah dadah masuk ke dalam rumahtangga sendiri baru hendak bertindak. Dadah boleh mengakibatkan keruntuhan sesebuah negara.

''Ketika berada di Amerika Syarikat (AS), saya pernah melihat kanak-kanak yang masih di peringkat usia sekolah rendah terlibat dalam penagihan dadah serta jenayah-jenayah lain," katanya.

Menurutnya, selain memerangi dadah secara aktif, orang ramai khususnya ibu bapa boleh memainkan peranan dengan mengukuhkan institusi kekeluargaan melalui penerapan nilai murni terhadap anak-anak.

Selain itu, jelas Mohammad Razi, setiap individu disaran supaya berpegang teguh pada ajaran agama dan menjadikannya sebagai benteng bagi mencegah diri daripada terjebak dalam gejala penyalahgunaan dadah.

(Utusan Malaysia, 23 Mac, m/s 27)

Catat Ulasan

0 Ulasan