Adat perpatih tarik pelancong
REMBAU 27 April – Keunikan adat perpatih yang diamalkan sejak lebih enam ratus tahun dahulu menjadi tarikan pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang berkunjung ke daerah ini.
Jika sebelum ini pelancong hanya sekadar melihat dari jauh, kini mereka berpeluang menyaksikan sendiri upacara serta istiadat yang diamalkan oleh masyarakat berketurunan Minangkabau di sini.
Peluang itu diperoleh menerusi inisiatif Inap Desa Kampung Batang Nyamor di Kota dekat sini menganjurkan persembahan pantomin upacara Sirih Pulang Ke Gagang sempena Pesta Adat 2009 baru-baru ini.
Pengkaji adat, Azini Paiman, 42, berkata, upacara tersebut bertujuan menjemput serta menyambut kepulangan seorang anak lelaki ke kampung asal sukunya atau ‘telapak’ setelah isterinya meninggal dunia.
Beliau yang juga seorang guru memberitahu, upacara itu hanya perlu dijalankan ke atas lelaki yang mengahwini seorang wanita berketurunan Minangkabau dari suku berlainan.
‘‘Sekiranya berkahwin dengan wanita yang bukan berketurunan Minangkabau atau dari suku yang sama, upacara itu tidak dipraktikkan,” ujarnya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas menyampaikan pengisahan pada persembahan pantomin berkenaan di sini baru-baru ini.
Azini berkata, waris pihak lelaki akan berunding dengan waris arwah isterinya sekurang-kurangnya tiga hari selepas selamat dikebumikan.
Katanya, rundingan itu bertujuan untuk menetapkan tarikh menjemput anak lelaki ke telapak asalnya serta perlu dihadiri oleh ‘ibu soko’, ‘waris soko’, ‘buapak’ dan Datuk Lembaga kedua-dua pihak.
Tambahnya, pada hari yang telah dipersetujui, rombongan waris pihak lelaki akan datang menjemput dan individu yang mengambilnya hendaklah setaraf dengan waris arwah wanita yang melepaskannya pulang.
‘‘Contohnya, sekiranya yang melepaskan itu Datuk Lembaga waris arwah isteri, maka Datuk Lembaga waris pihak lelaki tersebut yang akan menjemputnya pulang.
‘‘Cara menjemput juga agak unik kerana kedua-dua belah pihak akan berbalas bicara menggunakan kata perbilangan seperti yang ditetapkan adat,” kata Azini.
Selain itu, jelas beliau, waris pihak lelaki akan menyerahkan ‘pesaka pengganti batang tubuh’ berupa sepersalinan pakaian, sebilah keris, destar atau songkok, serta duit istiadat dan kesemuanya diletakkan di dalam tudung saji yang terlentang ke atas.
‘‘Kedudukan tudung saji yang terlentang ke atas merupakan simbolik bagi menggambarkan kata perbilangan ‘yang baik tertutup, yang sedih diterlentangkan’.
‘‘Manakala jenis persalinan, keris, destar, songkok serta nilai duit istiadat ditentukan mengikut taraf pihak lelaki di dalam hierarki adat perpatih,” katanya.
Menurut Azini lagi, setelah upacara Sirih Pulang Ke Gagang selesai, orang ramai yang hadir dijamu dengan makanan dan minuman yang disediakan mengikut kemampuan tuan rumah.
Bagaimanapun, ujar beliau, lelaki terbabit masih boleh tinggal di telapak isteri sekiranya anak perempuan lelaki itu memegang kakinya dan merayu supaya dia terus tinggal semasa upacara menjemput berlangsung.
Katanya, kelonggaran itu menunjukkan terdapat ruang untuk bertolak-ansur berhubung upacara berkenaan bagi membolehkan seorang bapa menjaga anak perempuannya sehingga dia mendirikan rumah tangga.
(Utusan Malaysia, 28 April 2009)
0 Ulasan