Pesta Adat 2009 penuh aktiviti menarik
PELAJAR Cameroon mengacau rendang daging kerbau yang dimasak menggunakan kayu api pada Pesta Adat 2009 di Inap Desa Kampung Batang Nyamor, Kota, Rembau, baru-baru ini. |
REMBAU 27 April - Pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang Pesta Adat 2009 anjuran Inap Desa Kampung Batang Nyamor di Kota dekat sini dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Sembilan (MTPNS) baru-baru ini.
Program selama tiga hari dua malam itu mengetengahkan persembahan pantomin upacara Sirih Pulang Ke Gagang yang diamalkan semasa menyambut kepulangan anak lelaki yang baru kematian isteri ke sukunya.
Selain itu, jelas beliau, aktiviti yang dijalankan termasuk membakar lemang, memasak rendang daging kerbau, persembahan kebudayaan, joget lambak, demonstrasi gubahan bunga telur, pertandingan 'panta kucung' dan masakan pengantin.
Tambahnya, pengunjung diberi peluang untuk turut serta bersama penduduk setempat bergotong-royong menyembelih dan melapah kerbau di samping menyediakan bahan masakan untuk majlis kenduri.
''Sudah tentu mereka tidak dapat melupakan pengalaman unik membakar lemang serta memasak rendang daging kerbau menggunakan kayu api," ujar Abdul Rahman kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, sebahagian besar daripada 73 pengunjung Inap Desa Kampung Batang Nyamor semasa Pesta Adat 2009 berlangsung terdiri daripada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dan pemandu pelancong yang berasal dari luar negeri ini.
Jelasnya, daripada jumlah itu, seramai 20 pengunjung merupakan pelajar antarabangsa dari Cameroon, China, Jepun dan Arab Saudi yang melanjutkan pengajian di IPT tempatan.
''Saya berharap setiap pengunjung ke Pesta Adat 2009 akan terus mempromosi keunikan budaya dan adat perpatih di daerah ini sekembalinya mereka ke tempat masing-masing nanti," kata Abdul Rahman.
Katanya, langkah tersebut berupaya menarik kedatangan lebih ramai pelancong dari dalam dan luar negara ke daerah ini khususnya di Inap Desa Kampung Batang Nyamor.
Beliau berkata, antara destinasi pelancongan menarik berhampiran Inap Desa Kampung Batang Nyamor seperti Hutan Lipur Gunung Datuk, replika istana dan makam Raja Melewar, kolam air panas di Chengkau dan Pedas, rumah Undang Luak Rembau terdahulu serta kunang-kunang di Kampung Sungai Timun.
''Bagi yang menggemari aktiviti lasak, mereka boleh mendaki Gunung Datuk untuk menyaksikan keindahan pemandangan sekitar daerah ini dan Seremban dari puncaknya.
''Menurut legenda, terdapat kesan tapak kaki yang dikatakan milik Laksamana Hang Tuah di sekitar kawasan puncak Gunung Datuk," jelas beliau.
Sehubungan itu, menurut Abdul Rahman, orang ramai boleh menghubungi beliau di talian 013-6543746 atau melalui e-mel di alamat 'hokopbn@yahoo.com' untuk maklumat lanjut tentang Inap Desa Kampung Batang Nyamor atau destinasi pelancongan di daerah ini.
(Utusan Malaysia, 28 April 2009)
0 Ulasan