Penjagaan sungai perlu kerjasama masyarakat


Penjagaan sungai perlu kerjasama masyarakat

IR. ZAIFULBAHRI Idris (depan, tiga dari kanan) melepaskan anak-anak ikan ke dalam Sungai Rembau, Rembau, baru-baru ini.


REMBAU 17 Mei - Orang ramai di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong di sini diminta memberi kerjasama sepenuhnya terhadap usaha penjagaan sungai.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Ir. Zaifulbahri Idris berkata, masyarakat tidak sewajarnya menyalahkan pembangunan pesat semata-mata sebagai faktor tunggal yang menyumbang terhadap pencemaran sungai.

Jelas beliau, pencemaran turut berlaku ekoran sikap tidak bertanggungjawab segelintir anggota masyarakat membuang sampah-sarap ke dalam sungai.

''Sungai di negara maju seperti Sungai Thames di London, England jauh lebih jernih jika dibandingkan dengan sebahagian besar sungai di negara ini," katanya ketika berucap pada majlis pelepasan anak-anak ikan di Taman Rekreasi Pinggiran Sungai Rembau dekat sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, beliau melepaskan sebanyak 60,000 anak ikan jenis lampam jawa (20,000), kerai (20,000), puyu (10,000), patin (5,000) dan baung (5,000).

Dalam pada itu, katanya, para pemancing rekreasi dan komersial perlu mengamalkan etika yang sewajarnya ketika menjalankan kegiatan memancing.

Menurut Zaifulbahri, etika memancing menggariskan bahawa anak-anak ikan yang ditangkap hendaklah dilepaskan semula ke sungai, kolam, tasik atau laut.

''Inisiatif tersebut bertujuan mengelakkan kepupusan pelbagai spesies ikan akibat sikap rakus sebahagian pemancing yang tamak," jelasnya.

Katanya, orang ramai turut diminta tidak melepaskan sebarang jenis ikan yang dibawa masuk dari negara asing dengan sewenang-wenangnya bagi memastikan keseimbangan ekosistem di dalam sungai tidak terganggu.

(Utusan Malaysia, 18 Mei, m/s 23)

Catat Ulasan

0 Ulasan