Dadah masalah utama Melayu


Dadah masalah utama Melayu

KUALA PILAH 23 Mac - Gejala penyalahgunaan dadah kini disifatkan sebagai masalah utama yang sedang dihadapi oleh masyarakat Melayu sekarang.

Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri, Abdul Rahman Hamid berkata, kira-kira 80 peratus daripada 350,000 penagih dadah di negara ini berbangsa Melayu.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, kira-kira 99 peratus merupakan golongan lelaki.

''Justeru, orang ramai di negeri ini khususnya kaum Melayu perlu bangkit memerangi dadah habis-habisan seperti kita menentang komunis dahulu," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada program Hari Peringatan Antidadah Kebangsaan peringkat negeri 2009 di Dewan Hadhari, Juasseh dekat sini baru-baru ini.

Program itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Juasseh, Datuk Mohammad Razi Kail.

Abdul Rahman memberitahu, pada masa ini, terdapat seramai 13,000 bekas penagih dadah yang berdaftar dengan AADK negeri.

Katanya, semua pihak perlu berganding bahu bagi mencapai sasaran negeri ini bebas dadah menjelang tahun 2012.

Sehubungan itu, Abdul Rahman meminta orang ramai menyalurkan maklumat berhubung sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah kepada AADK negeri.

(Utusan Malaysia, 24 Mac 2009, m/s 26)

Catat Ulasan

0 Ulasan