Sejarah Sungai Penarikan
JEMPOL 8 Mac - Kawasan sekitar tebing Sungai Penarikan berhampiran Kampung Jambu Lapan di sini berpotensi untuk dimajukan sebagai salah satu destinasi pelancongan utama negara.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Shamsulkahar Mohd. Deli berkata, Sungai Penarikan mempunyai kesan sejarah kerana pernah digunakan oleh Laksamana Hang Tuah untuk membawa lari Tun Teja dari Pahang ke Melaka.
Jelas beliau, sungai itu juga pernah menjadi laluan utama yang menghubungkan bahagian barat dan timur Semenanjung Malaysia pada satu masa dahulu.
''Sudah tentu, Sungai Penarikan mempunyai banyak kesan atau kisah sejarah yang boleh diketengahkan," katanya.
Shamsulkahar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Serting berkata demikian ketika berucap merasmikan program pelepasan benih ikan di perairan umum Sungai Penarikan, Kampung Jambu Lapan dekat sini baru-baru ini.
Hadir sama Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Wan Muhammad Aznan Abdullah.
Sebanyak 60,000 benih ikan kerai, lampam jawa dan baung dilepaskan oleh Shamsulkahar pada program tersebut.
Beliau turut menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang pertandingan memancing yang diadakan pada program yang sama.
Tambahnya, selain mempunyai nilai sejarah yang tinggi, kawasan berkenaan merupakan pertemuan Sungai Muar dan Sungai Jempol.
''Infrastruktur serta landskap di sekitar kawasan tebing Sungai Penarikan perlu dinaik taraf bagi menarik kehadiran lebih ramai pengunjung.
''Langkah kerajaan negeri Melaka mengindahkan kawasan tebing Sungai Melaka boleh dijadikan sebagai contoh," jelas Shamsulkahar.
Sehubungan itu, kata beliau, Majlis Tindakan Pelancongan negeri (MTPNS) dan Lembaga Muzium Negeri Sembilan disaran supaya mengkaji cadangan memajukan kawasan tebing Sungai Penarikan sebagai destinasi pelancongan sejarah.
(Utusan Malaysia, 9 Mac 2009)
0 Ulasan