Adat perpatih bakal didokumentasi


Adat perpatih bakal didokumentasi

SEREMBAN 1 Feb. - Kerajaan negeri bercadang menubuhkan sebuah institusi khusus bagi mendokumentasi segala aspek berhubung adat perpatih di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail berkata, institusi berkenaan berperanan merekod segala aktiviti tentang adat perpatih secara tersusun.

Jelas beliau, antara perkara-perkara yang perlu diberi tumpuan oleh institusi itu termasuk istiadat rasmi, pewarisan harta pusaka dan seni budaya.

''Bahan-bahan yang didokumentasi boleh dijadikan sumber rujukan rasmi oleh penyelidik adat perpatih serta orang ramai terutama generasi muda," ujarnya.

Mohammad Razi berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada sidang akhbar selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Persatuan Karyawan Negeri Sembilan (Karyawan NS) Kali Kedua di Taman Budaya dekat sini hari ini.

Hadir sama ialah Pengarah Bahagian Warisan Seni Budaya, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Siri Neng Buah dan Presiden Karyawan NS, Roslee Mansor.

Dalam majlis yang sama, Mohammad Razi menerima kertas kerja cadangan penubuhan Akademi Karyawan NS yang diserahkan oleh Roslee.

Beliau memberitahu, selain istiadat rasmi, kerja-kerja pendokumentasian turut meliputi isu-isu berkaitan tanah adat.

''Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan memberi perhatian yang serius tentang perkara tersebut dan beliau mencadangkan supaya dianjurkan forum atau seminar bagi membincangkan isu-isu tanah adat," jelasnya.

Kata Mohammad Razi lagi, institusi berkenaan diselia oleh Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan tokoh-tokoh yang berpengetahuan luas tentang adat perpatih akan dijemput untuk memberi pandangan.

Publish PostDalam pada itu, beliau berharap, ahli-ahli Karyawan NS menggiatkan usaha menarik minat orang ramai di negeri ini terhadap kegiatan seni budaya melalui aktiv
iti-aktiviti yang dianjurkan.

Ujarnya, ahli-ahli Karyawan NS boleh memainkan peranan meningkatkan jati diri masyarakat melalui penghasilan karya-karya berkualiti.

(Utusan Malaysia, 2 Februari 2009, m/s 23)

Catat Ulasan

0 Ulasan