Hari ini atau lebih tepat lagi, pada waktu pagi, saya membuat liputan lawatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ke Pasar dan Pusat Penjaja Ampangan, Seremban dan kawasan-kawasan sekitarnya. Tiada yang berbeza tentang lawatan itu. Berjalan-jalan, bersalam-salaman, berucap dan selesai. Sama seperti lawatan pemimpin-pemimpin negara yang lain.
Selepas majlis selesai, saya kira hampir pukul 12 tengahari, para hadirin berpusu-pusu mengambil makanan dan minuman yang disediakan secara percuma oleh penganjur. Saya puji keprihatinan pihak penganjur yang menyediakan begitu banyak meja dan khemah untuk memudahkan orang ramai mengambil makanan dan minuman. Malah, makanan dan minuman disediakan lebih dari mencukupi untuk semua yang hadir.
Sedang saya asyik menikmati sepinggan kecil kuetiau goreng sambil berdiri di khemah yang didirikan pengusaha katering, tiba-tiba berlaku satu kebiadaban di hadapan mata kepala saya sendiri. Seorang lelaki dengan selambanya melontarkan mangkuk dan cawan polistirena yang separuh berisi ke arah parit besar berhampiran. Lontarannya tidak tepat pada sasaran menyebabkan mangkuk dan cawan polistirena itu mendarat di tebing parit bersama isinya.
Perbuatan kurang sopan lelaki itu turut disaksikan beberapa hadirin lain yang sedang menikmati juadah masing-masing dan pekerja-pekerja syarikat katering. Seorang remaja lelaki yang saya lihat bersama dengan lelaki kurang sopan terbabit, mungkin adik, rakan atau saudaranya, menegur dan memberitahu ada tong sampah disediakan berhampiran khemah untuk membuang pinggan dan cawan serta sisa makanan. Salah seorang pekerja katering turut menegur dari jauh tentang perbuatan biadap lelaki berkenaan yang kelihatan seperti ingin beredar daripada lokasi yang menjadi mangsa kebiadabannya.
Lelaki biadab itu menambahkan lagi kebiadabannya apabila dia berpatah balik dan bersemuka dengan pekerja katering, seorang belia lelaki. Saya tidak pasti apa yang disemburkan si biadab kepada pekerja katering kerana butiran percakapan mereka tenggelam oleh alunan muzik patriotik yang sedang berkumandang di udara. Namun, dari riak muka kedua-duanya, saya percaya mereka sedang berkonfrontasi secara serius tentang kebiadaban yang berlaku sebentar tadi. Setelah bertikam lidah selama kira-kira lima minit, si biadap pun beredar dari situ sambil mulutnya becok menyatakan rasa tidak puas hati dengan teguran pekerja katering. Tiada perkara buruk yang berlaku dan keadaan kembali seperti sediakala.
Apakah lelaki biadab itu fikir kesalahannya kepada alam sekitar dan masyarakat yang cintakan kebersihan boleh ditutup dengan memaki-hamun pekerja katering yang menegurnya? Dari manakah dia belajar pemikiran sedemikian? Si biadab yang saya kira usianya agak matang itu sepatutnya belajar tentang adab dan peraturan hidup yang betul dalam masyarakat. Pekerja katering dan remaja lelaki yang bersama dengannya lebih arif dalam soal ini. Syabas saya ucapkan kepada pekerja katering yang berani menegur perbuatan lelaki biadab itu.
Senario ini juga mungkin pernah berlaku kepada diri kita sendiri. Mungkin ada jiran yang pernah menuduh kita sombong selepas kita menegur perbuatan anaknya membuang sampah ke dalam longkang di depan rumah kita. Mungkin kita pernah bertelagah dengan sahabat yang berang selepas ditegur tentang tabiatnya yang suka `meminjam’ barang-barang kita tanpa meminta kebenaran terlebih dahulu.
Perangai manusia memang aneh dan sentiasa sukar diduga. Yang melakukan kesalahan berhati buta dan yang menegur kesalahan pula sering jadi mangsa.
0 Ulasan