Ramai yang menjangka Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 di Malaysia semakin hampir. Kalau tidak hujung tahun ini, boleh jadi awal tahun depan. Mungkin ramai wakil rakyat sama ada Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang tidak dapat tidur lena pada waktu malam kerana terlalu risau memikirkan masa depan masing-masing. Soalan yang paling kerap ke udara dalam benak mereka adalah: Dapatkah aku menjadi wakil rakyat sepenggal lagi?
Siapa tidak suka jadi wakil rakyat? Ramai orang kenal dan mahu jadi kawan. Yang jadi lawan pun ramai. Tentu seronok dapat gelaran Yang Berhormat atau ringkasnya YB. Walaupun kadang-kadang pening kepala sebab ada juga rakyat jelata yang minta YB tolong langsaikan bil air atau elektrik rumahnya yang tertunggak selama berbulan-bulan. Itu belum lagi masuk bab anak masuk universiti, anak masuk asrama, anak masuk tadika dan anak masuk jawi. Serba-salah juga YB dibuatnya. Kalau tolong, nanti ramai yang minta tolong lagi. Kalau tak tolong, nanti `si minta-minta’ dan kaum-kerabatnya tak mahu mengundi.
Ada juga YB yang gundah-gulana memikirkan janji-janji yang masih tinggal janji. Semasa kempen PRU Ke-12 dulu janji bagai nak rak. Semuanya boleh dapat. Bisa diatur. Bila sudah menang, YB lebih kreatif mencari alasan daripada mencari jalan untuk menunaikan janji. Rasa-rasanya, senario sebegini dah lama berlaku pun. Mungkin sejak PRU yang pertama dulu. Masa berjanji, mulut semanis gula. Bila pengundi tuntut janji, muka pun masam mencuka.
Lain kali, jangan berjanji tinggi melangit. Rakyat sekarang bukan lepasan sekolah atap lagi. Ramai yang berpelajaran tinggi malah kadang-kadang lebih bergeliga lagi daripada YB atau calon YB. Kita faham semua orang ada kemampuan masing-masing. Memanglah, siapa yang tak suka melihat jalan diturap sampai depan pintu rumah, paip air tidak lagi pecah atau kampung tidak lagi dilanda banjir kilat. Sepatutnya masa kempen, jelaskan kepada rakyat hakikat sebenarnya. Masalah memang boleh selesai cepat kalau peruntukan ada. Cuba ubah minda masyarakat kita. Jangan setakat tahu minta sahaja tetapi bila cukai naik sedikit, sudah melenting kata kerajaan tak guna.
Syabas kepada YB-YB yang komited dalam menjalankan tugas diamanahkan. Rakyat sebenarnya suka kalau YB bersikap prihatin dan mesra dengan mereka. Tak perlu keluar duit banyak-banyak untuk anjur `majlis pemimpin bersama rakyat’ yang gilang-gemilang. Cukuplah sekadar YB hadir tunjukkan muka pada kenduri-kendara atau duduk bersembang dengan orang ramai di warung kopi, di tepi jalan, di rumah mereka tanpa protokol dan karenah birokrasi yang merimaskan. YB jangan geli-geleman meredah selut dan lumpur ketika melawat kawasan dilanda banjir. Kalau ada rumah penduduk terbakar, cepat-cepat turun padang dan bantu mana yang mampu. Rakyat yang pernah mengundi YB akan ingat semua itu sampai bila-bila. Silap-silap, orang yang tidak mengundi YB pada PRU sebelum ini mungkin berubah fikiran.
Yang berangan-angan hendak jadi YB pun sudah mula menonjolkan diri. Selalu minta publisiti agar muka kerap keluar dalam akhbar dan televisyen. Biar pucuk pimpinan tertinggi parti lihat muka dia hari-hari. Pada fikirannya, lebih cerahlah peluang nama naik sebagai calon YB. Tetapi, zaman sekarang tidak boleh baca begitu lagi. Kalau pegang orang atas tetapi akar umbi tak sokong, boleh jatuh terlentang juga dibuatnya. Kita sepatutnya ingat, rakyat selaku akar umbi yang sebenarnya berkuasa menentukan jatuh bangun mana-mana kuasa politik. Bila sudah naik, janganlah sombong kepada orang bawahan dan rakyat jelata.
Bila berkempen, elakkan bawa kuncu-kuncu satu batalion. Bila berkonvoi, siap lantik budak-budak motor yang entah ada lesen entahkan tidak jadi pengiring untuk tahan kereta lain di simpang semata-mata hendak beri laluan kepada kenderaan calon YB. Padahal, sepatutnya kereta calon YB tu yang berhenti sebab lampu isyarat laluan dia berwarna merah. Perkara-perkara begini memang nampak macam kecil tetapi menyebabkan rakyat jelata sakit hati. Tidak salah kalau calon YB bersikap merendah diri dan patuh kepada undang-undang jalan raya. Lebih baik lagi, kekalkan sikap yang sama selepas terpilih jadi YB nanti. Jangan beri tanggapan salah kepada rakyat yang YB kebal dari tindakan undang-undang. Barulah YB dapat tidur lena sambil tersenyum lebar setiap kali PRU menjelma.
0 Ulasan