149 kes rogol babitkan remaja

SEREMBAN 27 Nov. - Sebanyak 149 kes rogol membabitkan golongan remaja dilaporkan berlaku di negeri ini sepanjang tahun lalu.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Modal Insan, Belia dan Sukan negeri, Abd. Samad Ibrahim (BN-Sri Menanti), daripada jumlah itu, 93 kes melibatkan mangsa berumur di bawah 16 tahun manakala 27 suspek berusia di bawah 18 tahun.

Beliau berkata, daerah Seremban mencatatkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 58 kes diikuti oleh Port Dickson (24 kes), Jempol (23 kes), Kuala Pilah (18 kes), Tampin (13 kes), Rembau (lapan kes) dan Jelebu (lima kes).

``Kerajaan negeri memandang serius terhadap gejala rogol di kalangan remaja dan sentiasa berusaha membendungnya," jelasnya semasa menjawab soalan Datuk Zainal Abidin Ahmad (BN-Sungai Lui) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri ke-12 di sini hari ini.

Abd. Samad berkata, pendekatan bersepadu berasaskan ajaran Islam merupakan salah satu kaedah paling berkesan bagi menangani gejala tersebut.

Selain itu, ujar beliau, tapisan serta kawalan yang ketat perlu dilaksanakan terhadap media massa, cetak dan elektronik untuk mengelakkan remaja terpengaruh dengan unsur-unsur lucah.

Katanya lagi, agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang di negeri ini diminta mengambil inisiatif yang lebih serius terhadap isu rogol melibatkan remaja.

``Di samping itu, kerajaan negeri akan mengkaji semula keberkesanan serta menambah baik program Rakan Muda, Pusat Pembangunan Insan Cemerlang, Warisan 2020 dan Rakan Waja Diri dari semasa ke semasa," ujar Abd. Samad.

Beliau turut menyarankan supaya pertubuhan bukan kerajaan (NGO)dan pertubuhan dakwah menggiatkan penganjuran program pembangunan modal insan yang disasarkan kepada golongan remaja.
``Program-program yang bermanfaat untuk golongan remaja seperti bengkel, seminar, kaunseling dan motivasi perlu diperbanyakkan.

``Sektor swasta juga boleh membantu dengan menaja atau membiayai program-program berkenaan," kata Abd. Samad.

Beliau berkata, kesedaran serta motivasi dalaman yang tinggi diyakini berupaya mencegah remaja daripada terjebak dalam gejala rogol.

(Utusan Malaysia, 28 November 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan