Pemohon sijil halal perlu patuhi syarat

SEREMBAN 27 Nov. - Kesemua premis menjual makanan di negeri ini yang ingin memohon sijil dan logo halal diwajibkan mematuhi empat syarat seperti ditetapkan oleh Bahagian Penyelidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan (BN-Rantau) berkata, semua bahan makanan yang digunakan hendaklah mempunyai logo halal diiktiraf.

Selain dari itu juga beliau berkata, peralatan memasak seperti kuali, pinggan serta pisau perlu bebas dari bahan-bahan yang haram dari sisi agama Islam.

``Persekitaran premis serta kawasan memasak dan menyedia makanan hendaklah berada dalam keadaan bersih," ujarnya semasa menjawab soalan Zainal Abidin Ahmad (BN-Sungai Lui) pada Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri ke-12 di sini semalam.

Jelas Mohamad lagi, setiap premis menjual makanan turut disyaratkan mempunyai sekurang-kurangnya dua pekerja tempatan yang beragama Islam.

Beliau memberitahu, Bahagian Penyelidikan JHEAINS sentiasa memantau premis makanan yang mendapat kelulusan sijil dan logo halal.
Kata Mohamad, agensi-agensi lain seperti Bahagian Penguatkuasaan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Kesihatan negeri serta Jabatan Perkhidmatan Veterinar negeri turut membuat pemantauan yang serupa.

Tegasnya, sebarang kegagalan mematuhi empat syarat berkenaan boleh menyebabkan kelulusan sijil dan logo halal dibatalkan serta merta.

(Utusan Malaysia, 28 November 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan