Langkah kurangkan sampah, jimatkan wang

SEREMBAN 25 Nov. - Selain kitar semula, terdapat beberapa langkah lain yang mudah untuk dipraktikkan bagi membantu mengurangkan jumlah sampah yang dibuang setiap hari.

Menurut Eksekutif Komunikasi Korporat SWM Environment Sdn Bhd (SWM) Negeri Sembilan, Nurul Liza Mohd Najib, selain membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar, langkah-langkah tersebut turut menjimatkan wang.

Sebagai contoh, kata beliau, botol kaca boleh digunakan semula sebagai pasu bunga atau bekas menyimpan alat tulis.

``Malah, ada individu yang kreatif melukis pada botol kaca untuk dijual semula pada harga lumayan," jelasnya ketika ditemui di sini hari ini.

Di samping itu, pakaian lama dan langsir terpakai yang masih berkeadaan baik boleh disumbangkan kepada golongan kurang berkemampuan.

Sementara itu, ujar Nurul Liza, penggunaan plastik serta bekas polistirena dapat dikurangkan sekiranya pelanggan menyediakan sendiri bekas untuk membawa makanan dan minuman yang ingin dibawa pulang.
Beliau berkata, orang ramai juga digalakkan membawa beg sendiri untuk mengisi barangan semasa membeli-belah selain tidak meminta beg plastik tambahan di kaunter bayaran.

Nurul Liza memberitahu, amalan tersebut berupaya mengurangkan penggunaan beg plastik yang lazimnya dibuang sahaja ke dalam tong sampah.

``Peniaga-peniaga boleh memainkan peranan dengan memberi diskaun kepada pelanggan yang membawa beg sendiri.

``Mereka turut menerima manfaat kerana kos pembelian beg plastik pembungkus barangan semakin berkurangan," jelasnya.

Menurut Nurul Liza lagi, ibu bapa disaran supaya menggalakkan anak-anak mencintai alam sekitar serta menerangkan faedah-faedahnya.

(Utusan Malaysia, 26 November 2008)

Catat Ulasan

0 Ulasan