Cabaran berakit sambil bersihkan Sungai Teriang


Cabaran berakit sambil bersihkan Sungai Teriang

PESERTA memulakan cabaran berakit sepanjang Sungai Teriang, Kuala Klawang, Jelebu, kelmarin.


JELEBU 1 Mac - Seramai 57 peserta mewakili lapan kumpulan menyertai cabaran berakit sejauh tujuh kilometer sepanjang Sungai Teriang anjuran pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) daerah di sini semalam.

Cabaran yang bermula dari Kampung Jelin ke Kampung Kuala Pah di Kuala Klawang dekat sini menggunakan 16 buah rakit dan setiap rakit dikendalikan oleh tiga atau empat peserta.

Lebih menarik lagi, kemenangan bukan ditentukan oleh masa diambil untuk tiba di garisan penamat sebaliknya ia dinilai berdasarkan pasukan yang berjaya mengutip sampah paling banyak di sepanjang laluan.

ADUN Klawang, Datuk Yunus Rahmat berkata, cabaran berkenaan bertujuan meningkatkan kesedaran tentang usaha pemuliharaan sungai di kalangan peserta.

''Setiap anggota masyarakat di sini perlu bersama-sama menyumbang kepada usaha membebaskan Sungai Teriang daripada sebarang bentuk pencemaran," katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri.

Yunus berkata demikian ketika berucap pada majlis penutup program Odissi Jelebu 2009 di Kampung Kuala Pah, Kuala Klawang dekat sini semalam.

Kesemua pemenang menerima hadiah yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian, Warisan dan Adat Istiadat Melayu negeri, Datuk Mohammad Razi Kail.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pertanian negeri, Zabidi Dun; Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Wan Muhammad Aznan Abdullah serta Pegawai Daerah Jelebu, Ibrahim Hassan.

Cabaran berakit sepanjang Sungai Teriang merupakan salah satu aktiviti program Odissi Jelebu 2009 yang berkonsepkan perlumbaan kembara.

Sebelum itu, peserta-peserta melalui 10 halangan yang memerlukan inovasi, perancangan strategik, kreativiti dan kerjasama sebagai satu pasukan.

Kata Yunus lagi, cabaran berakit berkenaan dipercayai boleh membangkitkan nostalgia masyarakat setempat terhadap rakit yang pernah menjadi salah satu pengangkutan utama di daerah ini satu masa dahulu.

(Utusan Malaysia, 2 Mac 2009, m/s 27)

Catat Ulasan

0 Ulasan