'Nahas' kereta api gemparkan Kampung Seri Kendong


'Nahas' kereta api gemparkan Kampung Seri Kendong

ANGGOTA bomba mengusung seorang ‘mangsa’ yang cedera parah untuk menerima rawatan semasa menjalani latihan simulasi nahas kereta api berhampiran Kampung Seri Kendong, Kota, Rembau, kelmarin.


REMBAU 13 Feb. - Orang ramai di sekitar kawasan Kampung Seri Kendong, Kota dekat sini gempar seketika melihat 'mangsa-mangsa' kemalangan kereta api bergelimpangan di atas landasan berhampiran.

Kecederaan yang dialami 'mangsa-mangsa' memang amat mengerikan dan percikan 'darah' serta cebisan 'daging manusia' kelihatan bertaburan di sekitar tempat kejadian.

Malah, ada di antara 'saksi kejadian' yang menghubungi wakil rakyat bagi memaklumkan tentang nahas ngeri berkenaan.

Namun, suasana bertukar reda setelah anggota-anggota polis yang mengawal kawasan terbabit memaklumkan orang ramai bahawa 'nahas kereta api' itu cuma satu simulasi.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Tampin, Deputi Suprintendan Mohd. Isa Ujang, latihan menangani nahas kereta api berkenaan melibatkan empat agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat, Hospital Tampin dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Beliau berkata, latihan tersebut bertujuan menguji kecekapan keempat-empat agensi terbabit dalam menjalankan kerja-kerja menyelamat dan merawat mangsa-mangsa kemalangan kereta api.

Katanya, seramai 20 anggota polis, 35 anggota bomba, 30 petugas perubatan Hospital Tampin serta 10 anggota polis bantuan KTMB terlibat dalam latihan yang bermula pada pukul 11.48 pagi hingga 12.15 tengah hari itu.

''Latihan tersebut berdasarkan kepada senario gerabak kereta api tergelincir dari landasan yang menyebabkan kematian seorang mangsa, 12 yang lain cedera parah dan 17 lagi cedera ringan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Turut serta dalam latihan itu ialah Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, Wahir Mohd. Yunus bersama Pegawai Operasi Balai Bomba Alor Gajah, Melaka, Mokhtar Ahmad.

Mohd. Isa memberitahu, latihan tersebut adalah yang pertama kali diadakan pada tahun ini yang bertujuan untuk memperlihatkan tahap kerjasama antara agensi terbabit.

Katanya, orang ramai diminta segera menghubungi talian '999' atau balai polis berhampiran untuk menyalurkan maklumat berhubung nahas kereta api.

Sementara itu, Wahir berkata, selain Balai Bomba dan Penyelamat Tampin, latihan itu turut melibatkan anggota dan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Rembau serta Alor Gajah, Melaka.

''Kesemua jentera dan anggota dari ketiga-tiga balai bomba dan penyelamat terbabit berjaya tiba di tempat kejadian mengikut masa yang ditetapkan oleh prosedur," jelas beliau.

Menurutnya, latihan serupa turut dijalankan di balai bomba bagi memastikan kesemua anggota bersiap-sedia menghadapi situasi nahas kereta api yang sebenar.

(Utusan Malaysia, 14 Februari 2009, m/s 27)

Catat Ulasan

0 Ulasan